Ketahui Hukum Menghidupkan Malam Nifsu Syaaban – Mufti Terengganu

Ketahui hukum bagi menghidupkan

Ketahui Hukum Menghidupkan Malam Nifsu Syaaban – Mufti Terengganu

Kita sebagai umat Islam pasti sudah maklum berkenaan bulan yang berada dalam kalendar Islam. Setiap bulan dalam kalendar Islam mempunyai kisah dan peristiwa yang tertentu.

Sebagai contoh, bulan Rejab yang mempunyai peristiwa penting bagi kita sebagai umat Islam seperti Israk dan Mikraj. Peristiwa di mana nabi junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w yang naik ke langit ke-7 untuk bertemu dengan ALLAH SWT.

Selepas bulan Rejab, kita pula akan melalui bulan Syaaban. Bulan Syaaban merupakan bulan yang penuh dengan amal kebaikan. Dalam bulan Syaaban terdapat satu malam yang dinamakan sebagai malam Nifsu Syaaban.

Kita sebagai umat Islam pasti tidak mahu tertinggal peluang untuk merebut ganjaran pada malam Nisfu Syaaban. Justeru mari kita ikuti perkongsian Pejabat Mufti Terengganu berkenaan dengan hukum menghidupkan malam Nisfu Syaaban.

Hukum menghidupkan malam Nisfu Syaaban

Apa itu Nisfu Syaaban?

Menurut portal Pejabat Mufti Terengganu, Syaaban merupakan salah satu bulan yang mempunyai banyak kebaikannya. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w banyak melakukan puasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan lain.

 Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a:

“Rasulullah s.a.w tidak pernah berpuasa pada bulan tertentu selain Ramadan sepanjang tahun lebih banyak daripada puasanya dalam bulan Syaaban dan baginda bersabda: Lakukanlah amalan-amalan sunat yang kamu mampu kerana sesungguhnya Allah s.w.t tidak akan jemu sehingga kamu merasa jemu.

Baginda juga bersabda: “Amalan yang paling disukai di sisi Allah adalah dilakukan secara berterusan walaupun sedikit”. (H.R Muslim) (Sahih Muslim Bi Syarhi al-Nawawi: Jld 4 ms 218).

Bulan Syaaban juga mempunyai satu masa yang penting iaitu malam Nisfu Syaaban. Namun adalah diharapkan supaya tidak ada orang yang menganggapkan bahawa malam Nisfu Syaaban sebagai malam penentuan nasib seseorang pada tahun berikutnya.

Sehingga terdapat sebahagian daripada masyarakat sanggup meninggalkan pekerjaan pada malam tersebut untuk menghadiri malam Nisfu Syaaban kerana bimbang terlepas habuannya. Kepercayaan seperti ini adalah dibimbangi akan menjejaskan akidahnya sebagai seorang muslim.

Walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa pada malam tersebut adalah digalakkan kepada umat Islam untuk memperbanyakkan ibadat. Ibadat seperti memperbanyakkan bacaan al-Quran, zikir, berdoa dan Qiamullail sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis. (Yasalunaka fi ad-Din wa al-Hayat: Jld 4 ms 347).

Terdapat hadis yang sahih jelas menunjukkan kelebihan malam Nisfu Syaaban ini iaitu: Daripada Abu Musa al-Asya’ri r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t menilik (hamba-hambaNya) pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampunkan seluruh hamba-hambaNya melainkan orang melakukan syirik dan orang munafik.” (H.R Ibnu Majah).

Semestinya pengampunan Allah s.w.t tersebut berasaskan amalan-amalan soleh yang dilakukan oleh hamba-hambaNya. Galakan serta amalan-amalan tersebut seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut:

“Apabila datang malam Nisfu Syaaban maka hendaklah kamu bangun mendirikan  solat-solat sunat pada malamnya dan melaksanakan puasa sunat pada siang harinya. Kerana sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam tersebut bermula dari terbenam matahari”. (H.R Ibnu Majah) (Kanzul Ulum al-Jami’ lilahkami al-Syari’yyah fi al-Fiqhi al-Syafie: ms 215).

Oleh itu, disarankan kepada umat Islam supaya hadir ke majlis menghayati Nisfu Syaaban beramai-ramai dan jadikanlah majlis ini sebagai titik permulaan untuk mereka menjinakkan diri dengan rumah Allah (Masjid). Selain daripada mendapatkan kelebihan-kelebihan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t pada malam tersebut. Malahan sebagai seorang Islam adalah tidak wajar mereka hanya memilih malam-malam tertentu untuk beribadat.

Semoga kita dapat memperolehi kebaikan dan ganjaran dalam mengerjakan amalan pada malam bulan Nifsu Syaaban tersebut.

Sumber: Pejabat Mufti Terengganu

The post Ketahui Hukum Menghidupkan Malam Nifsu Syaaban – Mufti Terengganu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*