KKM Waspada Kemungkinan Timbul Penyakit X Di Malaysia

kkm penyakit x

KKM Waspada Kemungkinan Timbul Penyakit X Di Malaysia

PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) — Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berwaspada dan mempunyai tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi kemungkinan kemunculan penyakit X di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis  Pelancaran Siri Panduan Diet Malaysia dan Inisiatif ‘Healthy Eathing Responsibility For Women’ (HER) di sini hari ini, beliau berkata orang ramai tidak perlu berasa terlalu bimbang terhadap penyakit itu.

“Walaupun penyakit X tidak menjadi fokus dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-76 baru-baru ini, Malaysia tetap berwaspada terhadap kemungkinan kemunculan penyakit X.

“Kami juga berkeyakinan boleh menanganinya dengan berkesan berdasarkan pengalaman dengan wabak sebelum ini seperti COVID-19, virus Nipah, SARS, dan MERS-CoV,” katanya.

Selain itu, menurutnya sistem kesihatan Malaysia juga sentiasa diperkukuh untuk menghadapi penyakit tersebut, manakala maklumat mengenai wabak penyakit akan sentiasa disampaikan secara terbuka.

Beliau berkata orang ramai juga perlu mendapatkan maklumat dan membuat persediaan bagi menghadapi penyakit itu termasuk mengikuti garis panduan kesihatan, amalan kesihatan yang baik dan sentiasa mendapatkan maklumat terbaharu tentang perkembangan penyakit berkenaan.

Penyakit X merupakan nama yang dicipta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2018 untuk sejenis patogen yang tidak diketahui, dengan potensi untuk menyebabkan wabak di seluruh dunia.

Walaupun sifat dan waktu penyakit X masih belum dikenal pasti, dilaporkan pakar kesihatan telah menyuarakan kebimbangan tentang impak penyakit berkenaan.

BACA: KKM Sahkan Dua Kes Positif Jangkitan Cacar Monyet

Sementara itu, dalam ucapan perasmian pada majlis berkenaan, Dr Muhammad Radzi berkata berat badan berlebihan dan obesiti kekal menjadi masalah utama kesihatan awam, dengan 50.1 peratus rakyat Malaysia direkodkan mempunyai masalah tersebut pada 2019.

Katanya Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia  (NHMS) 2019 menunjukkan satu daripada tiga murid mengalami masalah itu, dengan peningkatan prevalen berlaku dalam kalangan murid berumur 10 hingga 17 tahun iaitu daripada 26.9 peratus pada 2012 kepada 30.4 peratus pada 2017.

Mengenai Siri Panduan Diet Malaysia, beliau berkata ia merupakan dokuman saintifik yang diterbitkan khas untuk populasi sihat, dengan mengandungi maklumat terkini serta saranan pendekatan bagi mencapai mesej utama tentang penjagaan makanan.

Inisitif HER pula merupakan kesinambungan dan terjemahan Panduan Diet Malaysia bagi mencegah dan mengawal masalah pemakanan dalam kalangan wanita umur reproduktif iaitu antara 15 tahun dan 49 tahun.

Sumber: BERNAMA

The post KKM Waspada Kemungkinan Timbul Penyakit X Di Malaysia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*