Konsert Shila Amzah di 6 lokasi termasuk Indonesia

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan juga komposer, Shila Amzah meluahkan rasa gembira berpeluang mengadakan jelajah konsert berskala besar di enam lokasi iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah, Singapura dan dua di Indonesia.

Menurut pemilik nama lengkap Nurshahila Amir Amzah itu, penglibatannya dalam konsert tersebut akan memberikan impak kepadanya sebagai artis yang sudah berkecimpung dalam dunia seni sejak berusia empat tahun.

“Saya mahukan tema yang memberi impak kepada kerjaya saya tahun ini. Istimewanya kali ini saya berpeluang untuk mengadakan konsert di enam lokasi termasuk Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang, Singapura dan dua konsert di Indonesia.

“Itu hanyalah fasa pertama. Selepas itu, kami akan meneruskan dengan rangkaian konsert untuk fasa kedua dan ketiga.

“Saya rasa amat bertuah kerana bukan semua penyanyi mendapat peluang seperti ini,” katanya ketika sidang akhbar Konsert Jelajah Journey To The Future.

Anak kepada penyanyi Datuk ND Lala itu juga berkongsi tema konsert yang diilhamkan daripada pengalaman hidupnya sepanjang tiga dekad menjalani kesukaran dan keperitan berada dalam industri seni.

“Saya memikirkan tentang apa yang menjadikan siapa saya pada hari ini. Tentunya pengalaman masa lalu, fasa gelap yang pernah ditempuhi dahulu.

“Lagu-lagu yang akan saya sampaikan berkait rapat dengan transisi sehingga ke hari ini. Fasa sekarang adalah yang terbaik dan saya harap berkekalan,” jelasnya.

Lebih manis, penyanyi itu gembira dapat membawa bersama-sama anak tunggalnya, Seth Uwais sepanjang menjayakan siri penjelajahan konsert berskala besar tersebut.

“Antara yang istimewa konsert kali ini adalah saya dibenarkan untuk membawa Seth.

“Tentunya saya gembira kerana sebagai ibu tunggal, saya kena ambil peduli tentang dia. Seth akan menjadi pembakar semangat saya nanti,” tutur artis berusia 33 tahun itu.

Konsert jelajah tersebut akan diadakan selama dua jam dengan menampilkan 40 buah lagu yang akan dinyanyikan secara ‘medley’.

Kuala Lumpur akan menjadi lokasi pembukaan tirai konsert pada 4 Mac depan dan keenam-enam lokasi konsert akan dibahagikan kepada lima segmen dan membabitkan persembahan lagu yang pernah dinyanyikan sepanjang kariernya.

Penjualan tiket akan dibuka pada 16 Januari menerusi All Access Asia dan TicketCharge dengan dijual pada  harga RM238, RM338, RM438 dan RM638 (VIP). – KOSMO! ONLINE

The post Konsert Shila Amzah di 6 lokasi termasuk Indonesia appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*