Kotak Hitam Helikopter AW139 Maritim Malaysia Ditemui

Kotak Hitam Helikopter AW139 Maritim Malaysia Ditemui

KUALA SELANGOR, 17 April – Kotak hitam helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) AW139 (M72-01) yang melakukan pendaratan cemas ketika melaksanakan latihan menyelamat pada 5 Mac lalu di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor telah ditemui hari ini. 

kotak hitam aw139 ditemui

Kotak hitam berkenaan ditemui pasukan penyelam penyelamat Maritim Malaysia selepas misi pencarian memasuki hari ke 44 setelah ekor pesawat helikopter terbabit dikesan di kedudukan 1.9 batu nautika selatan Pulau Angsa iaitu kira-kira 760 meter dari lokasi nahas berlaku. 

Setelah berjaya dinaikkan dari dasar laut, kotak hitam berkenaan telah dibawa ke makmal untuk dianalisa data rakaman bagi mengetahui punca sebenar insiden yang berlaku. 

kotak hitam aw139 ditemui

Pihak Maritim Malaysia menjangkakan keputusan data akan diperoleh dalam masa terdekat berikutan keadaan kotak hitam tidak mengalami sebarang kerosakan yang teruk. 

Terdahulu operasi pencarian kotak hitam berkenaan telah membabitkan 21 penyelam berhadapan dengan kesukaran akibat arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut berlumpur. 

kotak hitam aw139 ditemui

Selain penyelam penyelamat Maritim Malaysia yang dikoordinasikan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), misi pencarian kotak hitam turut disertai kru sonar Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia serta kru kapal dan bot Maritim Negeri Selangor. 

The post Kotak Hitam Helikopter AW139 Maritim Malaysia Ditemui appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*