KPWKM pandang serius kes pembunuhan kanak-kanak OKU di Bau

PUTRAJAYA- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius kes pembunuhan membabitkan seorang kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) yang berlaku di Bau, Sarawak, baru-baru ini.

Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau telah mengarahkan kementerian menyantuni keluarga mangsa selain mengambil langkah bersesuaian untuk pemeliharaan dan perlindungan berdasarkan Seksyen 17 Akta Kanak-kanak 2001.

“Saya memandang serius berkenaan kes pembunuhan kanak-kanak OKU berusia enam tahun yang terjadi di Bau, Sarawak dan dimaklumkan polis juga sedang menjalankan siasatan menyeluruh berkenaan kes ini.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai yang mengetahui tentang kes penderaan boleh terus menghubungi Talian Kasih di talian 15999 atau nombor WhatsApp 019-2615999 atau terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang terdekat bagi mendapatkan bantuan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan OKU maut dipercayai akibat dipukul oleh teman lelaki ibunya dalam kejadian yang berlaku pada pertengahan bulan lepas.

Mangsa berusia enam tahun dipercayai dipukul oleh suspek berusia 35 tahun antara 15 dan 17 Disember lalu menyebabkan ibu mangsa bersama anak perempuannya tidak lagi berani pulang ke rumah. – KOSMO! ONLINE

The post KPWKM pandang serius kes pembunuhan kanak-kanak OKU di Bau appeared first on Kosmo Digital.