Kronolgi Kes Syed Saddiq Berhubung Dana Armada

syed saddiq dana armada

Kronolgi Kes Syed Saddiq Berhubung Dana Armada

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) — Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta.

Jika gagal membayar denda, Syed Saddiq, 30, boleh dipenjara empat tahun. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini namun membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Berikut adalah kronologi kes berkenaan:

22 Julai 2021 – Syed Saddiq didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pecah amanah RM1 juta dan menyalahgunakan RM120,000 dana Armada untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

5 Ogos 2021 – Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan mahkamah membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

23 Ogos 2021 – Syed Saddiq memohon empat pertuduhan yang dihadapinya itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

25 Nov 2021 – Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan itu.

24 Mac 2022 – Pendakwaan kemuka dua pertuduhan pindaan berhubung kes pecah amanah dan menyalahgunakan wang milik Armada yang dihadapi Syed Saddiq dan beliau mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan itu.

BACA: Dana Armada: Syed Saddiq Dipenjara Tujuh Tahun, Denda RM10 Juta, Dua Sebatan

21 Jun 2022 – Perbicaran hari pertama kes Syed Saddiq yang menghadapi empat pertuduhan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.

7 Julai 2022 – Pihak pembelaan memohon untuk mencabar kredibiliti saksi utama iaitu Rafiq Hakim Razali berikutan percanggahan dalam pernyataan saksi dan keterangan lisannya di mahkamah namun permohonan itu ditolak.

8 Julai 2022 – Syed Saddiq memohon maaf di mahkamah kerana memuat naik semula satu hantaran di laman media sosialnya berhubung perbicaraan kesnya itu.

21 Julai 2022 – Azhar mengingatkan orang awam supaya tidak melampaui batas dalam membuat sebarang kenyataan di media sosial berhubung kes itu.

22 Julai 2022 – Syed Saddiq sekali lagi memohon mencabar kredibiliti saksi sama (Rafiq Hakim) susulan terdapat beberapa percanggahan dalam keterangan yang direkod oleh SPRM dan keterangan lisannya di mahkamah dan permohonan itu juga tidak dibenarkan.

27 Sept 2022 – Pihak pendakwaan menutup kes itu selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.

6 Okt 2022 – Pihak pendakwaan dan pembelaan menyampaikan hujahan di akhir kes pendakwaan.

28 Okt 2022 – Mahkamah Tinggi memerintahkan Syed Saddiq membela diri atas empat pertuduhan.

22 Feb 2023 – Syed Saddiq memberi keterangan dalam prosiding bela diri.

14 Mac 2023 – Pihak pembelaan menutup kes itu selepas memanggil empat saksi untuk memberi keterangan.

10 April 2023 – Pihak pembelaan dan pendakwaan menyampaikan hujahan di akhir kes pembelaan.

4 Sept 2023 – Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menghadiri forum kepimpinan belia di Indonesia.

Sumber: BERNAMA

The post Kronolgi Kes Syed Saddiq Berhubung Dana Armada appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*