Lans Koperal Didakwa Peras Ugut Wanita RM200

lans koperal rm200

Lans Koperal Didakwa Peras Ugut Wanita RM200

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) — Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang videonya tular kerana meminta wang RM200 daripada seorang wanita tempatan berikutan rakannya warga China gagal menunjukkan pasport, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, 32, mengaku tidak bersalah selepas didakwa telah menyebabkan ketakutan dengan niat untuk melakukan pemerasan terhadap Lee Log Ling, 26, dengan meminta wang RM200 sekiranya mahu dilepaskan kerana kegagalan rakan wanita itu yang merupakan warganegara China untuk membawa pasport semasa diperiksa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen, Dang Wangi, di sini pada 11 malam, 23 Mac lepas mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Purshotaman Puvanendran yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai empat anak yang masih kecil dan memberikan kerjasama kepada pihak polis semasa siasatan dijalankan.

Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pada 3 April lepas, media melaporkan sebuah video berdurasi satu minit 48 saat tular menerusi aplikasi TikTok memaparkan seorang anggota polis lengkap beruniform melakukan pemeriksaan terhadap individu berlatarbelakangkan Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato Onn.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata siasatan awal pihak polis mendapati individu yang dirakam telah mendakwa diperas ugut oleh anggota polis berkenaan kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.

Sumber: BERNAMA

BACA: Lans Koperal Mengaku Tidak Bersalah Terima Rasuah Untuk Pulangkan Barang Rampasan

The post Lans Koperal Didakwa Peras Ugut Wanita RM200 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*