LBS sasar jualan RM2 bilion tahun ini

CYBERJAYA – LBS Bina Group Berhad (LBS) optimis mampu mencapai sasaran jualan hartanah yang ditetapkan pada RM2 bilion tahun ini, walaupun dalam suasana ketidaktentuan geopolitik global dan jangkaan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Hock San berkata, keyakinan tersebut berdasarkan prestasi tahun lalu, yang mana pihaknya telah merekodkan jualan berjumlah RM2 bilion, 25 peratus lebih tinggi daripada angka sasaran RM1.6 bilion untuk tahun 2022.

Pada masa sama, Kumpulan turut mengumumkan perancangan 2023 untuk melancarkan 12 projek baharu meliputi kawasan Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak melibatkan jumlah keseluruhan 4,021 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM 2.09 bilion.

“Prestasi tahun lalu merupakan pencapaian yang luar biasa dan petunjuk bahawa projek pembangunan kami terletak di lokasi strategik serta pada julat harga berpatutan yang memenuhi keperluan orang ramai. 

“Selain itu, kami berjaya menyerahkan sebanyak 2,957 unit milikan kosong bernilai RM1.27 bilion, di sebalik cabaran getir 2022 dan bergelut dengan ketidaktentuan iklim ekonomi serantau, krisis rantaian bekalan serta kerapuhan geopolitik.

“Ketidaktentuan ekonomi dan pasaran dijangka masih merupakan sebahagian dari cabaran utama tahun ini. Justeru itu, LBS telah merangka perancangan strategik bagi mengekalkan prestasi serta meningkatkan lagi sasaran jualan hartanah kami kepada RM2 bilion,” katanya sesi Taklimat Media LBS 2023 di Galeri Jualan KITA@Cybersouth di sini, hari ini.

HOCK SAN komited untuk memastikan hartanah yang dibangunkan pihaknya kekal relevan buat pembeli.

Berdasarkan lokasi strategik, LBS akan memberi tumpuan kepada pelancaran 2,118 unit dengan nilai GDV berjumlah RM1.1 bilion di Lembah Klang, yang mana kawasan tersebut telah menyumbang sebanyak 90 peratus daripada keseluruhan jualannya tahun lalu.  

Ini termasuk rumah bersambung (link house) satu tingkat, rumah bersambung dua tingkat dan rumah bandar di KITA Bestari berjumlah 817 unit dengan GDV RM418 juta; 155 unit rumah teres dua tingkat Astella di D’Island Residence, Puchong dengan GDV RM139 juta; serta Blok B, LBS Prestige Residence, Seri Kembangan berjumlah 725 unit dengan GDV RM313 juta.

Kini, LBS mempunyai 18 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan anggaran GDV sebanyak RM5.7 bilion, manakala simpanan tanah setakat 31 Disember 2022 pula berkeluasan 2,972 ekar (1,202 hektar), membolehkan Kumpulan kekal bersaing untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Jualan belum dibil pula berjumlah kira-kira RM2.46 bilion dan ia bakal memberikan pendapatan kepada Kumpulan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Menurut Hock San, menuju ke hadapan, pihaknya komited untuk memastikan hartanah yang dibangunkannya terus kekal relevan serta mampu dimiliki oleh bakal pembeli rumah.

“Selain itu, kami berhasrat untuk memberi ganjaran berterusan kepada pemegang saham selaras dengan dasar dividen kami iaitu membayar 30 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post LBS sasar jualan RM2 bilion tahun ini appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*