Lelaki Ditahan Godam, Jual Data Milik Agensi Kerajaan – Bukit Aman

godam data kerajaan

Lelaki Ditahan Godam, Jual Data Milik Agensi Kerajaan – Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki yang memiliki kepakaran teknologi maklumat kerana disyaki menggodam dan menjual data milik sebuah agensi kerajaan di laman sesawang “darkweb”.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata lelaki warga tempatan berumur 24 tahun itu ditahan pada 25 Dis lepas di sekitar ibu kota.

Bercakap dalam sidang media khas JSJK di sini, beliau berkata siasatan mendapati lelaki itu telah menjual data di laman sesawang dengan harga US$200 (RM927) untuk setiap set data dan pembayaran adalah dalam bentuk mata wang kripto.

“Pengesanan terhadap lelaki itu berjaya dilakukan hasil kecekapan Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency JSJK.

“Hasil siasatan juga mendapati suspek baru ‘berjinak-jinak’ dalam jenayah ini dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Ramli berkata lelaki itu telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 29 Dis lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

BACA: Mayat Ditanam Belakang Rumah: Sebar Gambar Bogel Punca Lelaki Dibunuh

Sementara itu, katanya polis menyiasat empat kes pecah amanah jenayah berkaitan kutipan zakat dengan dua kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Terengganu dan Perak sepanjang 2023.

Ramli berkata nilai kerugian keseluruhan bagi kesemua kes berkenaan adalah sebanyak RM9.7 juta.

“Kes di Perak mencatatkan nilai kerugian tertinggi iaitu RM9.6 juta dan dalam kes ini, syarikat yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak disyaki telah gagal mendepositkan wang kutipan zakat bermula Mac 2023 hingga September 2023.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, ia amat mendukacitakan apabila wang zakat turut diseleweng oleh individu-individu yang diamanahkan untuk mengutip wang itu,” katanya.

Ramli berkata perkara ini tidak sewajarnya berlaku kerana zakat merupakan satu daripada lima rukun Islam yang menjadi pegangan setiap Muslim.

“Sewajarnya wang kutipan zakat diuruskan dengan baik dan penuh amanah agar ia dapat dimanfaatkan sesuai dengan kehendak agama.

“JSJK memberikan amaran keras kepada pelaku-pelaku jenayah ini bahawa tindakan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang akan diambil bagi memastikan jenayah sebegini tidak berulang,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Lelaki Ditahan Godam, Jual Data Milik Agensi Kerajaan – Bukit Aman appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*