Lelaki Goda Isteri Orang Di Perak Masih Boleh Didakwa Ikut Undang-Undang Syariah Negeri

Lelaki goda isteri orang

Lelaki Goda Isteri Orang Di Perak Masih Boleh Didakwa Ikut Undang-Undang Syariah Negeri

IPOH, 26 Dis (Bernama) — Lelaki Islam yang menggoda isteri orang di Perak masih boleh dikenakan tindakan atas kesalahan itu di bawah undang-undang syariah negeri berkenaan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzilah Abdul Halim berkata ini kerana Seksyen 30 Enakmen Jenayah (Syariah) Perak 1992 masih terpakai dan boleh digunakan untuk mendakwa individu yang melakukan perbuatan itu.

“Mengikut Seksyen 30(1), sesiapa yang memikat seorang perempuan bersuami atau membawanya lari atau dengan apa-apa cara mempengaruhi beliau supaya meninggalkan rumah tangga yang ditentukan oleh suaminya adalah bersalah…

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan mahkamah hendaklah memerintahkan supaya perempuan itu kembali kepada suaminya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 21 Dis lepas, Ketua Hakim Syarie Terengganu Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata individu yang melakukan kesalahan itu masih boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang jenayah syariah negeri berkenaan.

BACA: Tak Ada Kaitan Dengan Musang, Ini Asal Usul Nama Durian Musang King Yang Ramai Tak Tahu

Dianggap sebagai tidak berperlembagaan, Mahkamah Persekutuan pada 15 Dis lepas memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan selepas mendapati ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana mendiskriminasi secara tidak sah hanya atas alasan jantina yang bertentangan dengan Perkara 8(2).

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Panel itu membuat ketetapan berkenaan selepas membenarkan permohonan seorang ahli perniagaan yang merujuk persoalan berhubung perkara tersebut iaitu sama ada Seksyen 498 tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 8(1)(2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kesaksamaan di sisi undang-undang dan diskriminasi jantina.

Sumber: BERNAMA

The post Lelaki Goda Isteri Orang Di Perak Masih Boleh Didakwa Ikut Undang-Undang Syariah Negeri appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*