Lelaki Tembak Mati Ibu Beruang Depan Dua Ekor Anaknya Cetus Kemarahan Rakyat Itali

tembak ibu beruang

Lelaki Tembak Mati Ibu Beruang Depan Dua Ekor Anaknya Cetus Kemarahan Rakyat Itali

Pembunuhan seekor beruang coklat di hadapan dua ekor anaknya berhampiran taman negara Itali telah mencetuskan kemarahan orang ramai pada Jumaat, lapor CBS News.

Menteri Alam Sekitar Itali dan penyokong hak asasi haiwan menyuarakan kemarahan dan kekecewaan mereka terhadap pembunuhan beruang di wilayah pergunungan Abruzzo itu.

Penduduk tempatan, termasuk keluarga yang mempunyai anak kecil difahamkan sering berhenti di sekitar kawasan taman untuk melihat keluarga beruang tersebut.

Keluarga beruang itu dikatakan sering dilihat bersiar-siar di jalan-jalan berhampiran taman tersebut.

Sementara itu, Taman Negara Abruzzo, Lazio dan Molise menyifatkan pembunuhan beruang yang digelar Amarena atau Black Cherry itu sebagai salah satu beruang coklat yang prolifik.

Penduduk memberikan nama itu kerana ceri hitam adalah antara makanan kegemaran beruang itu, kata akhbar Corriere della Sera.

Lelaki yang menembak beruang itu menggunakan senapang pada malam Khamis memberitahu polis bahawa dia berasa terancam kerana haiwan itu berada di dalam kawasannya.

“Saya menembak kerana ketakutan, tetapi saya tidak berniat mahu membunuhnya. Saya mendapati ia di dalam kawasan tanah saya dan ia adalah tindakan impulsif, naluri,” kata lelaki itu dipetik ANSA.

Pengarah Taman, Luciano Sammarone memberitahu ANSA bahawa beruang itu telah melintasi pagar kawasan peribadi lelaki tersebut.

“Saya percaya bahawa kejadian ini adalah demi untuk mempertahankan diri,” kata Sammarone kepada agensi berita.

Beliau turut menambah bahawa penghakiman terhadap lelaki itu hanya akan dilakukan selepas siasatan selesai.

Dalam pada itu, pendakwa raya masih lagi menyiasat motif pembunuhan haiwan tersebut. Polis juga telah merampas senapang yang dimiliki oleh lelaki berusia 56 tahun tersebut.

Rampasan itu dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan oleh mereka, lapor agensi berita LaPresse.

Beruang coklat marsican, merupakan haiwan endemik di Itali tengah dan dipercayai mengalami risiko tinggi untuk pupus.

Taman itu mengatakan bahawa hanya kira-kira 60 ekor beruang tinggal di dalam taman atau di kawasan sekitar taman tersebut.

“Pembunuhan beruang betina marsic adalah satu episod yang serius, di mana ia wajib memberikan penerangan secepat mungkin,” kata Menteri Alam Sekitar, Gilberto Pichetto.

“Komitmen kami juga bertujuan untuk melindungi anak beruang, melakukan segala yang mungkin supaya mereka boleh kekal bebas,” tambahnya lagi.

BACA: Seram, Wanita Rakam Kucingnya Bersikap Aneh Sebelum “Catwheel” Tiba-Tiba Bergerak Sendiri

Difahamkan, dron juga telah digunakan dalam operasi mencari dua ekor anak beruang malang tersebut.

Anak beruang tanpa ibu itu dikatakan masih belum pandai berdikari dan ia sangat berisiko tinggi.

Beruang marsican coklat yang dibunuh pada Khamis lalu adalah subspesis yang berbeza secara genetik daripada beruang jenis alpine.

TV kerajaan Itali pada Jumaat mendedahkan bahawa Amarena adalah merupakan ibu kepada seekor lagi beruang yang terbunuh secara tragis di taman itu.

Beruang itu dilaporkan mati selepas dilanggar oleh sebuah kereta pada awal tahun ini.

Sumber: CBS News

The post Lelaki Tembak Mati Ibu Beruang Depan Dua Ekor Anaknya Cetus Kemarahan Rakyat Itali appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*