Lelaki Warga Emas Maut, Cucu Cedera Dalam Kemalangan

lelaki warga emas maut

Lelaki Warga Emas Maut, Cucu Cedera Dalam Kemalangan

ALOR SETAR, 4 Jan (Bernama) — Seorang lelaki warga emas maut manakala cucu perempuannya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Kuala Pegang-Parit Panjang dekat Baling, semalam.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata dalam kejadian 5.29 petang itu, Mohamad Norzizan Ismail, 61, maut akibat kecederaan dalaman badan, manakala cucunya Nur Damia Qaisara Norazlimi, 9, mengalami luka pada kepala dan badan.

“Ketika kejadian, mangsa dan cucunya menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Hospital Baling menghala ke Sik manakala kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 63 tahun itu pula dalam perjalanan dari arah Kuala Pegang menghala ke Parit Panjang.

“Sampai di tempat kejadian di Kampung Mengkuang Masjid, kenderaan pacuan empat roda membelok masuk ke kanan ke sebuah stesen minyak. Mangsa yang mengekori dari belakang tidak lepas memotong kereta itu dan terlanggar bahagian sisi sebelah kanan kenderaan di laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

BACA: Mayat Lelaki Warga Emas Ditemukan Terdampar Di Sungai Kedah

Beliau berkata akibat kejadian itu, mangsa yang berasal dari Kampung Lela, Kuala Pegang mengalami cedera parah dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat, manakala cucunya dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan. Pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Bernama

The post Lelaki Warga Emas Maut, Cucu Cedera Dalam Kemalangan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*