Longgokan Hiasan Ayat Al-Quran Ditemukan Di Tepi Jalan Di Nilai

 

NILAI, 27 Dis (Bernama) — Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menemukan longgokan hiasan ayat al-Quran yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab di tepi jalan di kawasan Perindustrian Arab Malaysia, di sini hari ini.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata bertindak atas maklumat orang awam pasukannya bersama Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai telah pergi ke kawasan tersebut kira-kira 4.30 petang tadi.

“Tiba di lokasi, kita menemukan longgokan hiasan ayat al-Quran tersebut kebanyakannya berbentuk bingkai gambar, terdapat beberapa ayat al-Quran itu tidak mengikut peraturan di bawah akta ditetapkan, namun lafaz seperti Allah, Muhammad, ‘bismillahirrahmanirrahim’ semuanya itu tepat.

“Jadi perbuatan tidak bertanggungjawab ini menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan umat Islam dan ia merupakan sangat sensitif apabila melibatkan kalimah Allah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya ayat suci al-Quran perlu dilupuskan mengikut hukum syarak ditetapkan dan pihak industri, peniaga atau orang awam boleh berhubung dengan JHEAINS untuk mendapatkan panduan yang betul.

Kes disiasat di bawah Seksyen 49 dan Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan pihaknya juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu untuk tindakan selanjutnya.

Sumber: BERNAMA

BACA: Mayat Wanita Dibuang Dalam Tong Sampah, Kesan Luka Pada Badan

The post Longgokan Hiasan Ayat Al-Quran Ditemukan Di Tepi Jalan Di Nilai appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*