Luahan Pembaca: Sakit mata tengok papan tanda penuh lumut

Saudara Pengarang,

Pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai tanggungjawab untuk mengurus dan menjaga agar aset-aset kepunyaan mereka agar berada dalam keadaan baik.

Salah satu aset yang biasanya tidak diambil berat oleh sesebuah PBT adalah papan tanda petunjuk arah.

Di bandar raya Shah Alam, pihak PBT, iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempunyai banyak aset seperti yang dinyatakan di atas. Berdasarkan kepada pengamatan penulis, banyak papan-papan tanda petunjuk arah ini yang tidak diselenggara dengan baik.

Justeru, penulis kerap juga menulis e-mel secara terus kepada Datuk Bandar Shah Alam supaya aset-aset tersebut dibersihkan sebaiknya.

Merujuk kepada gambar yang disertakan, papan tanda petunjuk arah ini terletak di Jalan 14/2, Seksyen 14, Pusat Bandar. Sepatutnya, papan tanda ini dibersihkan kerana ia jelas dalam keadaan ‘kotor’ dan tidak sedap mata memandang.

Penulis telah pun beberapa kali memberitahu kepada pihak MBSA tentang perkara ini. E-mel telah pun dihantar kepada Timbalan Datuk Bandar Shah Alam pada November tahun lalu dan pihak berkenaan telah telah membalas aduan dengan memberikan nombor rujukan.

Penulis juga telah menghantar ciapan kepada Twitter MBSA @sacitycouncil pada 25 November 2022 dan 24 Disember 2022. Namun, pihak MBSA masih belum melakukan sebarang tindakan.

Untuk rekod, MBSA telah pun menubuhkan Pasukan Task Force Aduan MBSA pada 9 Februari 2022 bagi tujuan memantau aset-aset MBSA yang cacat di seluruh kawasan di bawah pentadbiran MBSA.

Adalah diharapkan dengan tersiarnya aduan ini, pihak MBSA akan membersihkan papan tanda petunjuk arah yang berlumut dan kotor ini dengan kadar segera.

Haji Kamaruddin Hassan
Seksyen 8, Shah Alam, Selangor

The post Luahan Pembaca: Sakit mata tengok papan tanda penuh lumut appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*