LUAS Kesan 98 Kolam Berpotensi Sebagai Sumber Air Mentah Tambahan

LUAS Kesan 98 Kolam

LUAS Kesan 98 Kolam Berpotensi Sebagai Sumber Air Mentah Tambahan

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dilapor telah mengesan 98 kolam sumber air alternatif yang berpotensi sebagai sumber air mentah tambahan untuk negeri itu.

LUAS dalam satu kenyataan berkata, 20 daripadanya telah diwartakan sebagai Zon Perlindungan untuk kawalan di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999.

Manakala yang selebihnya sedang dalam proses diwartakan agar kolam tersebut dapat dilindungi dan mampu digunakan bila-bila masa ia diperlukan.

“Kolam-kolam ini sentiasa dipantau oleh LUAS bagi mengelakkan segala bentuk gangguan dan kerosakan terhadap kualiti dan kuantitinya,” maklum kenyataan itu.

Dalam pada itu, pihaknya juga turut memantau keadaan salah satu daripada kolam tersebut iaitu Tasik Biru, Kundang di daerah Selayang.

“Semakan dan pemantauan bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ini bagi melihat kerja-kerja yang perlu dilaksanakan untuk menangani masalah air tasik melimpah dan backflow.

“Kerja-kerja pembersihan akan segera dilaksanakan untuk menilai punca kepada backflow tersebut,” tambah kenyataan itu lagi.

LUAS Kesan 98 Kolam
Kredit: Lembaga Urus Air Selangor | Facebook

1,335 lokasi terjejas bekalan air

Imbas kembali, sebelum ini sebanyak 1,335 kawasan di Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Sabtu baru-baru ini.

Hal tersebut berikutan empat loji air rawatan (LRA) terpaksa dihentikan ekoran insiden pencemaran bau di muka sauk Loji Rawatan Air Rantau Panjang LRA Rantau Panjang, Kuala Selangor.

Bagaimanapun memetik laporan Bernama semalam, gangguan bekalan air tersebut telah pulih sebanyak 99 peratus setakat 6 petang semalam.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri ketika itu berkata bekalan air di Petaling, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah pulih sepenuhnya.

Manakala pemulihan di Klang dan Shah Alam pada tahap 94 peratus (setakat dilaporkan semalam).

Beliau berkata gangguan air di 12 kawasan di Wilayah Klang masih belum pulih sepenuhnya dan kerja-kerja pemulihan sedang giat dilakukan.

“Bekalan air di Wilayah Klang dijangka pulih sepenuhnya 6 pagi Selasa.

“Tempoh pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain, bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Air Selangor turut menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih, sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Sumber: Lembaga Urus Air Selangor | Facebook

The post LUAS Kesan 98 Kolam Berpotensi Sebagai Sumber Air Mentah Tambahan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*