‘Mama baliklah, kami rindu’

TEMERLOH – “Mama baliklah, kami rindu mama. Harap sangat mama jenguk dan jaga kami selepas ini.”

Itu rayuan Norhaida Abdullah, 13, selepas ibu kandungnya, Norhana Rizuwan, 33, tidak pulang sejak April tahun lalu walaupun telah banyak kali berjanji.

Norhaida bersama lima adik­nya kini menumpang kasih de­ngan nenek dan datuk mereka Ramlah Senik, 55, dan Rizuwan Puteh, 59, di Kampung Chengal, di sini hampir setahun lalu.

Pelajar tingkatan satu itu bersama lima adiknya, Muhammad Shahrul Nizam, 12, Nurul Syawana, 10, Muhammad Syahrul Iman, 7, Nurul Syawani, 6, dan Amirul Mukminin, 2, turut menumpang kasih bapa saudara Muhamad Azlan Rizuwan, 37.

Difahamkan enam beradik ditinggalkan ibu mereka selepas sebulan bapa mereka meninggal dunia pada Mac tahun lalu.

Norhaida memberitahu, dia hanya berhubung melalui ­WhatsApp dengan ibunya dan kali terakhir pada 21 November lalu namun tidak berbalas.

“Mama pernah beberapa kali beritahu mahu pulang jenguk kami, tapi tidak pernah pun sekali balik ke sini. Kasihan pada Mak Tok (nenek) dan Tok Wan yang terpaksa menjaga kami lima beradik,” luahnya.

Dalam pada itu Ramlah berkata, Norhaida pada mulanya me­nyatakan mahu mencari pekerjaan lain di Terengganu sejurus sebulan selepas menantunya meninggal pada tahun lalu namun sehingga kini tidak pulang selain tidak pernah memberi duit kepada anaknya.

Menurutnya, pada masa ini mereka menampung kehidupan dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP) termasuk pendapatan bulanannya serta anak lelaki, Muhamad Azlan.

“Saya bekerja sebagai pembantu gerai mi tiga hari se­minggu dengan pendapatan RM40 sehari. Sementara anak saya (Muhammad Azlan) bekerja di kedai ­santan dengan gaji RM300 ­sebulan.

“Suami pula tidak bekerja kerana kaki telah dipotong akibat kencing manis. Biarlah susah macam mana pun, kami akan jaga mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Rizuwan berkata, ada individu yang mahu mengambil cucu mereka untuk dijadikan anak angkat, namun dia suami isteri tidak sanggup berpisah dengan cucu mereka biarpun susah.

“Alhamdulillah. Ada juga yang membantu anak-anak yatim ini dengan bantuan lain termasuk mendaftarkan dua orang cucu (lelaki) ke tahfiz. Yang lain, ada juga dapat bantuan di sekolah.

“Saya berharap anak saya Norhana dapat pulang segera kerana anak-anak merinduinya. Kami memikirkan masa depan cucu kami. Bagaimana susah sekali pun, kami akan pastikan cucu kami tidak dalam kesusahan,”ujarnya.

The post ‘Mama baliklah, kami rindu’ appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*