Mbappe Nak Berpindah Dari PSG, Sedang Diintai Kelab-kelab Kaya

Mbappe berpindah psg

Mbappe Nak Berpindah Dari PSG, Sedang Diintai Kelab-kelab Kaya

Paris Saint-Germain (PSG) dilapor bersedia untuk menjual Kylian Mbappe, selapas pemain itu memaklumkan hasratnya yang tidak mahu menyambung kontrak.

Menurut laporan media, Mbappe mempunyai pilihan untuk menyambung kontrak setahun selepas kontrak semasa tamat pada 2025.

PSG dan kem Mbappe dilapor sudahpun memulakan perbincangan dan sedang menilai pilihan yang ada, termasuk memujuk pemain itu mengubah hasratnya.

Mbappe nak berpindah dari PSG, tak mahu sambung kontrak

Jika tiada persetujuan bersama dicapai, PSG terbuka untuk membenarkan antara pemain muda terbaik dan bintang bola sepak dunia itu berpindah pada musim panas ini. PSG difahamkan sama sekali tidak akan membiarkan pemenang Piala Dunia itu keluar secara percuma pada tahun hadapan.

 

Sekiranya tiada perpindahan berlaku pada musim panas ini dan Mbappe enggan memperbaharui kontrak, beliau boleh meninggalkan kelab tersebut secara percuma pada musim panas 2024. Manakala, rundingan bersama kelab di luar Ligue 1 boleh dimulakan seawal Januari depan.

Berita mengejutkan ini akan meletakkan PSG pada posisi yang lebih sukar selepas kehilangan Lionel Messi yang berpindah ke Amerika Syarikat.

Tahun lepas, Mbappe mengejutkan banyak pihak apabila memperbaharui kontrak bersama PSG biarpun menerima tawaran mega daripada gergasi La Liga, Real Madrid. Tindakan Mbappe ketika itu nyata mengundang rasa kurang senang daripada Real Madrid dan mengeruhkan hubungan kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, konflik dilapor seakan-akan sudah reda dan Real Madrid mungkin akan kembali untuk mendapatkan tandatangan pemain tersebut. Apatah lagi, Real Madrid juga baru sahaja kehilangan tonggak kelab dan penyerang utama, Karim Benzema yang mengambil keputusan untuk berpindah ke Liga Arab Saudi.

Setakat ini, tiada sebarang laporan yang menyebut destinasi seterusnya untuk Mbappe. Namun dengan tanda harga dan gajinya yang sangat lumayan, dapat dipastikan tidak banyak kelab yang mampu bersaing bagi mendapatkan khidmatnya.

Antara kelab-kelab yang mungkin mempunyai kemampuan kewangan untuk membawa masuk pemain tersebut seperti Manchester United, Manchester City dan juga Chelsea.

Dengan umurnya yang masih muda, Mbappe juga diyakini tidak akan berpindah keluar daripada Eropah dan menyasarkan kelab-kelab utama di liga-liga terkuat Eropah untuk mengembangkan kariernya.

BACA: Intan Serah Sertai New York Dutch Lions FC, “Player” Wanita Pertama Beraksi Di Amerika

Sumber: The News

The post Mbappe Nak Berpindah Dari PSG, Sedang Diintai Kelab-kelab Kaya appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*