Melaka Rai 30 Pasangan Pengantin Mualaf Bersempena KIAM’23

30 Pasangan Pengantin Mualaf

Melaka Rai 30 Pasangan Pengantin Mualaf Bersempena KIAM’23

MELAKA, 30 Dis (Bernama) — Kerajaan negeri Melaka hari ini meraikan 30 pasangan pengantin mualaf menerusi Majlis Pernikahan dan Walimatulurus Mualaf Negeri Melaka Siri 3 bersempena Karnival Islamik Antarabangsa Melaka 2023 (KIAM’23) di perkarangan Stadium Hang Jebat di sini hari ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata majlis berkenaan merupakan acara tahunan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi memenuhi tanggungjawab sebagai keluarga dan saudara rapat kepada saudara baharu yang tidak mempunyai waris seagama.

“Inisiatif ini membuktikan betapa kerajaan negeri Melaka amat prihatin dan sentiasa menyokong pelaksanaan pelbagai program pembangunan Islam dan kebajikan rakyat termasuk yang melibatkan golongan mualaf melalui kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Muslim yang sentiasa cakna terhadap kebajikan golongan mualaf di negeri ini.

“Majlis pernikahan dan walimatulurus saudara-saudara baharu secara berkelompok ini merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi membantu pasangan mualaf di Melaka, khususnya dapat menjimatkan kos perbelanjaan di samping menguruskan penyediaan majlis memandangkan mereka ini mungkin tidak mempunyai saudara-mara seagama untuk membantu,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan.

Sementara itu, mualaf Muhammad Syazwan Abdullah, 29, yang berketurunan Iban dari Sibu, Sarawak ketika ditemui di sini berkata beliau berkenalan dengan isterinya, Nurul Nadiah Ismawandy, 29, dari Cheng awal tahun ini sebelum memeluk Islam pada 28 Ogos lepas.

Muhammad Syazwan yang merupakan orang kurang upaya (OKU) selepas kudung tangan kanan berkata beliau mengenali isterinya itu daripada seorang rakan, sebelum mereka memutuskan untuk berkahwin pada 1 Dis lepas.

“Isteri sebelum ini sedang melalui proses penceraian pada bulan September. Kami mula rapat selepas dia bercerai dengan bekas suaminya dan memutuskan untuk berkahwin pada awal bulan ini.

“Isteri juga merupakan OKU yang kudung kaki kanan selepas ditimpa kemalangan ketika berusia 16 tahun. Buat masa ini saya dan isteri tidak bekerja memandangkan tiada majikan mahu terima kami,” katanya.

Nurul Nadiah berkata beliau tidak menyangka dijemput oleh MAIM untuk menghadiri majlis persandingan hari ini.

“Majlis persandingan hari ini akan menjadi kenangan terindah untuk kami berdua dan keluarga saya amat menerima kehadiran suami saya ini,” katanya.

BACA: Otai Ajar Cara Tradisional Proses Air Tebu, Elak Cepat Rosak

Sumber: Bernama

The post Melaka Rai 30 Pasangan Pengantin Mualaf Bersempena KIAM’23 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*