Membina Penjagaan Kesihatan Awam Yang Mampan Untuk Hari Esok

KUALA LUMPUR, 16 Mei 2023 – Pihak pembuat keputusan utama dan pihak berkepentingan dalam industri penjagaan kesihatan berkumpul dalam satu forum, “Membangunkan ekosistem penjagaan kendiri di Malaysia”, dalam usaha mengetengah dan mempromosi konsep penjagaan kendiri di negara ini. Forum itu dianjurkan oleh Reckitt dan dengan kerjasama Majlis Perniagaan EU-Asean (EU-ABC) dan Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen.

Ketika menyampaikan ucaptama, Dato’ Sri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), Kementerian Kesihatan berkongsi bahawa kecelikan kesihatan yang semakin berkembang penting untuk menggalakkan perubahan tingkah laku dalam kalangan individu dan masyarakat, dan ia dilihat sebagai komponen utama model penjagaan kendiri yang berkesan. “Memperkasakan individu untuk mengurus kesihatan dan kesejahteraan mereka boleh membantu mengurangkan beban sistem penjagaan kesihatan di negara ini. Bagi mencapai matlamat ini, kita perlu bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang tepat, dari kedua-dua sektor awam dan swasta untuk ilmu yang lebih baik dan penekanan yang lebih terhadap penjagaan kendiri,” ujar Dato’ Sri Norazman.

Berhubung peranan Reckitt dalam menyokong sistem kesihatan awam, Pengurus Besar Malaysia, Singapura & Vietnam, Brian Fischel, berkongsi, “Sebagai sebuah organisasi yang wujud untuk melindungi, menyembuhkan dan memupuk penjagaan kesihatan, kami memainkan peranan dalam menggalakkan orang ramai untuk menjaga kesihatan mereka. Melalui forum ini, kami berhasrat untuk memudah cara sesi dialog yang penuh bermakna ini dengan penglibatan pihak pembuat keputusan utama dan pihak berkepentingan termasuk penggubal dasar, pemimpin kerajaan, NGO, penyelidik, kesihatan dan jenama nutrisi. Kami berharap agar sesi ini akan membantu menjana perbincangan mengenai cara melestarikan sistem penjagaan kesihatan selain peranan yang diperlukan untuk penjagaan kendiri, “kata Fischel.

Forum perbincangan dua panel ini menumpu kepada aspek utama mewujudkan persekitaran penjagaan diri melalui perkongsian pengetahuan dan klasifikasi semula ubat-ubatan. Ahli panel juga berkongsi pengalaman negara luar seperti UK, Australia, Singapura dan Thailand yang telah mendapat manfaat daripada penjagaan kendiri dan klasifikasi semula ubat.

Peningkatan kecelikan kesihatan yang menggalakkan perubahan tingkah laku dalam kalangan individu dan komuniti, adalah penting untuk penjagaan kendiri yang berkesan. Persekitaran penjagaan kendiri yang baik menawarkan pelbagai kelebihan struktur dan ekonomi. Ia termasuk pesakit dengan harga diri yang lebih tinggi, kesihatan yang lebih terjaga, jangka hayat yang lebih panjang serta pengurangan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Penjagaan kendiri bukanlah satu konsep baharu. Ia adalah mengenai kemampuan individu untuk mengambil keputusan termaklum dalam mengurus kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan, mencegah penyakit dan menyokong kualiti hidup dan jangka hayat yang lebih baik. Sistem penjagaan kesihatan Malaysia sudah pun berhadapan dengan pelbagai cabaran yang wujud akibat populasi yang semakin menua, jurang akses dan kualiti penjagaan kesihatan antara kawasan bandar dan luar bandar, peningkatan kos penjagaan kesihatan dan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Menurut Chris Humphrey, Pengarah Eksekutif EU-ABC yang menjadi moderator perbincangan panel pertama, tinjauan yang dilakukan semasa kemuncak pandemik COVID-19 di empat negara termasuk Malaysia, mendapati sikap penjagaan kesihatan telah berevolusi. Beliau berkata, tinjauan mendapati pengguna lebih yakin untuk menguruskan penyakit ringan mereka tanpa campur tangan pengamal penjagaan kesihatan, dan turut menyatakan hasrat mereka untuk meningkatkan ketersediaan ubat tanpa preskripsi dan ubat penjagaan kendiri, serta mempromosi saluran jualan dan perundingan baharu, seperti dalam talian.

Panel kedua, Azrul Mohd Khalib, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial pula berkongsi, “Pandemik COVID-19 telah menunjukkan potensi kesan buruk peristiwa kesihatan dan alam sekitar berskala besar di seluruh negara, menjangkaui trend penggunaan dan perbelanjaan penjagaan kesihatan jangka panjang. Bagaimanapun, pandemik tersebut turut menunjukkan keupayaan penjagaan kendiri yang berlaku ekoran peningkatan kesedaran pengguna yang sekali gus membantu sistem kesihatan”.

Selain itu, semakan berkala klasifikasi ubat secara sistematik boleh menyumbang kepada manfaat amalan penjagaan kendiri yang berpotensi sebagai satu faktor pendorong. Mendidik pengguna tentang penggunaan ubat OTC yang betul boleh membantu mengurangkan beban infrastruktur penjagaan kesihatan,” tambah Azrul.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), separuh daripada dunia, kira-kira 3.6 bilion orang kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan utama. Intervensi penjagaan kendiri disyorkan oleh WHO, untuk setiap negara dan persekitaran ekonomi, sebagai laluan kritikal untuk mencapai liputan kesihatan sejagat, mempromosi kesihatan dan perkhidmatan kepada mereka yang perlu.

The post Membina Penjagaan Kesihatan Awam Yang Mampan Untuk Hari Esok appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*