Menyamar pegawai kastam sebelum samun kedai runcit

AMPANG JAYA – Polis memberkas tiga lelaki warga tempatan kerana disyaki menyamun sebuah kedai runcit dengan menyamar sebagai pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Taman Keramat di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, salah seorang suspek terbabit ditahan pada hari kejadian, manakala dua lagi suspek diberkas semalam.

“Pemilik kedai runcit membuat laporan polis kira-kira pukul 9.25 malam pada Ahad lalu mendakwa dia mengalami kerugian hampir RM5,000.

“Pekerjanya yang menjadi mangsa kejadian mengalami kecederaan pada bahagian tangan kerana terkena pisau lipat yang digunakan oleh suspek.

“Bertindak atas maklumat diterima, polis berjaya menahan salah seorang suspek pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Farouk, suspek yang ditahan itu berusia 35 tahun bekerja sebagai pembantu kedai aksesori kereta di Pandan Indah dan mempunyai dua rekod jenayah lampau.

“Hasil ujian air kencing menunjukkan suspek positif dadah jenis amphetamine dan MOP.

“Polis turut merampas pisau lipat yang digunakan untuk mencederakan mangsa, pakaian dan satu `walkie talkie’,” katanya.

Kata beliau, polis seterusnya berjaya menahan dua lagi rakan suspek masing-masing berusia 32 dan 39 tahun malam di Selayang dan Bandar Sri Damansara malam semalam.

Menurut beliau, tiga buah telefon bimbit dirampas untuk siasatan lanjut dan ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan benzo.

“Suspek berusia 32 tahun merupakan seorang penganggur dan mempunyai lapan rekod lampau termasuk tiga rekod masih dikehendaki polis atas kesalahan dadah.

“Suspek berusia 39 tahun pula bekerja sebagai kelindan lori dan mempunyai 20 rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah,” katanya.

Tambah beliau, suspek yang ditangkap pada hari kejadian ditahan reman selama tujuh hari, manakala dua lagi rakan suspek direman bermula hari ini sehingga Jumaat depan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan. – KOSMO! ONLINE

The post Menyamar pegawai kastam sebelum samun kedai runcit appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*