Nak Anak Masuk Taska Tapi Bayaran Mahal? Ini Cara Mohon Subsidi Yuran

Permohonan Subsidi Yuran Taska

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil yang ingin dihantar ke taska, ini adalah cara mohon subsidi yuran taska yang ditawarkan kerajaan.

Pemberian Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-kanak TASKA merupakan satu inisiatif kerajaan yang menyasarkan golongan kurang berkemampuan untuk menghantar anak-anak mereka mendapat asuhan dan didikan awal di TASKA.

Bukan itu sahaja, pendekatan ini sekali gus meringankan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah dan menyumbang ke arah pembangunan modal insan yang berkualiti, sihat dan seimbang.

Oleh itu, kerajaan telah menetapkan subsidi yuran pengasuhan kepada RM180 sebulan untuk seorang kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi keluarga yang layak.

Untuk membuat permohonan sila ikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti di bawah yang hanya dibuka bermula 1 Januari setiap tahun, tetapi anda perlu berurusan lebih awal dengan pengusaha TASKA (dua bulan awal).

Permohonan Subsidi Yuran Taska
Kredit: Sinar Harian

Syarat mohon subsidi yuran taska

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menetapkan beberapa syarat permohonan kepada golongan yang ingin memohon yang terbahagi kepada tiga kategori yang merangkumi kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga dan pihak TASKA.

Bagi kanak-kanak, terhad kepada golongan yang berumur empat tahun ke bawah. Bagaimanapun, bagi kalendar  di mana umur kanak-kanak genap empat tahun pada tempoh subsidi, yuran pengasuhan TASKA boleh diteruskan sehingga 31 Disember.

Malah, kanak-kanak tersebut juga perlu mendapat asuhan dan didikan secara bulanan di TASKA yang berdaftar di JKM, kecuali TASKA Komuniti.

Untuk ibu bapa pula, mereka perlulah mempunyai kewarganegaraan Malaysia dan berpendapatan RM800 sebulan bagi kawasan bandar atau RM500 di kawasan luar bandar.

Sementara itu bagi pengusaha TASKA, mereka juga perlu sebagai warganegara Malaysia dan TASKA perlu didaftarkan di JKM. Selain daripada mempunyai bank akaun atas nama TASKA, pengusaha juga perlu memohon Subsidi Yuran Pengasuhan yang telah dikemas kini dengan maklumat kanak-kanak.

Permohonan Subsidi Yuran Taska
Kredit: BERNAMA

Prosedur cara mohon subsidi yuran taska

Dalam perkongsian ini juga turut dilengkapi dengan prosedur permohonan yang perlu anda lengkapkan sekiranya ingin membuat permohonan.

Yang pertama, anda perlu lengkapkan Borang YP1 (Borang Permohonan Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-Kanak TASKA) dari Pejabat Kebajikan Masyarakat berhampiran.

Seterusnya, borang YP1 tersebut akan dikemukakan kepada pengusaha TASKA yang berdaftar dengan JKM.

Jadi, pengusaha TASKA akan mengemukakan borang YP1 dan Borang YP2 ( Borang Senarai Semak Permohonan Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-Kanak TASKA) kepada Pegawai Diberi Kuasa Daerah/Jajahan/Bahagian berkenaan untuk disemak atau disahkan.

Perlu diingatkan, permohonan secara terus daripada pengusaha TASKA/ibu bapa kepada Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri tanpa melalui Pejabat Kabajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian/Cawangan berhampiran adalah tidak akan dipertimbangkan.

Permohonan Subsidi Yuran Taska
Kredit: Taska Anakku Khalifah | Facebook

Namun, begitu, pemulangan subsidi juga akan turut dilakukan berdasarkan empat keadaan yang dinyatakan seperti kanak-kanak tidak hadir ke TASKA melebihi satu bulan, kanak-kanak berhenti atau bertukar dari TASKA serta sebab-sebab lain yang diarahkan oleh JKM.

Dokumen diperlukan untuk mohon subsidi yuran taska

Beralih pula kepada dokumen yang diperlukan, JKM turut dilengkapi dengan dokumen yang perlu anda sertakan untuk permohonan subsidi yuran yang terbahagi kepada dua kategori iaitu ibu bapa dan pengusaha TASKA.

Borang YP1 yang lengkap berserta dokumen berikut:
  1. salinan kad pengenalan ibu bapa/ penjaga;
  2. salinan MyKid/ sijil lahir kanak-kanak/ sijil anak angkat/ pelihara;
  3. salinan resit yuran bulanan TASKA;
  4. salinan kad OKU bagi kanak-kanak OKU;
  5. salinan sijil kematian/ sijil cerai bagi ibu bapa/ penjaga (jika berkenaan);
  6. salinan penyata pendapatan ibu bapa/penjaga. Sekiranya tiada penyata pendapatan, kemukakan surat pengesahan pendapatan dari majikan atau pengesahan pendapatan oleh Ketua Kampung/ Penghulu/ JKKK/ kakitangan awam kumpulan Pengurusan dan Profesional; dan
  7. salinan sijil lahir/ kad pengenalan bagi ahli keluarga yang ditanggung.
Nota: Borang YP1 bersama dokumen di atas hendaklah dihantar kepada pengusaha TASKA.
Sementara itu, bagi pengusaha TASKA pula berikut merupakan borang-borang yang anda perlukan:
Borang YP1 yang diisi lengkap dan Borang YP2 berserta dengan dokumen berikut:
  1. salinan kad pengenalan pengusaha;
  2. salinan sijil Perakuan Pendaftaran TASKA;
  3. salinan penyata akaun bank atas nama TASKA yang disahkan;
  4. surat akuan/ pengesahan pengusaha sekiranya TASKA menggunakan akaun pertubuhan atau perkongsian; dan
  5. semua salinan dokumen yang dikemukakan oleh ibu bapa/ penjaga kanak-kanak.
Nota: semua dokumen di atas hendaklah dihantar kepada Pegawai Diberi Kuasa Daerah/ Jajahan/ Bahagian berkenaan

Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat

The post Nak Anak Masuk Taska Tapi Bayaran Mahal? Ini Cara Mohon Subsidi Yuran appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*