Panasonic Sokong Peralihan Komuniti TTDI Ke Arah Masyarakat Rendah Karbon

Perkongsian Panasonic dan GreenSteps Malaysia beri penekanan kepada penyelesaian komuniti berasaskan alam semula jadi dan kepentingan data pengurangan pelepasan karbon sebagai bimbingan tangani perubahan iklim

Kuala Lumpur, 30 Mac 2023 – Panasonic Malaysia hari ini mengumumkan perkongsian penting bersama GreenSteps Malaysia, sebuah inisiatif yang diilhamkan oleh komuniti yang memberi tumpuan dalam mewujudkan komuniti rendah karbon, bagi menyokong penduduk di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), bertindak menangani perubahan iklim menerusi inisiatif ‘Food Waste to Wealth’.

Dilancarkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Hj. Mahadi bin Che Ngah, kerjasama itu memperlihatkan langkah Panasonic sebagai antara beberapa korporat pertama di Malaysia yang menggunakan pendekatan komuniti secara menyeluruh ke arah amalan pengurusan sisa yang lebih baik, disokong penyelesaian komuniti berasaskan alam semula jadi yang dipacu data.

Mengulas mengenai perkongsian dengan GreenSteps Malaysia, Keisuke Nishida, Pengarah Urusan Panasonic Malaysia berkata, “Misi kami yang digagaskan oleh pengasas kami menyentuh supaya syarikat kami perlu menyumbang kepada masyarakat dan ini termasuk menangani cabaran global melibatkan perubahan iklim.

Slogan tindakan jenama kami “Create Today. Enrich Tomorrow.” menyokong komitmen kami untuk mencapai kemajuan ke arah planet yang lebih hijau dan kami gembira untuk membentuk perkongsian strategik dengan GreenSteps Malaysia dalam menyokong peralihan komuniti TTDI ke arah masyarakat rendah karbon.”

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), jika sisa makanan adalah sebuah negara, ia akan menjadi pemancar ketiga tertinggi gas rumah hijau (GHG) selepas Amerika Syarikat (AS) dan China.

Kerjasama ini bertujuan untuk menggalakkan amalan pengasingan sumber, pemangkin utama untuk mengalih sisa dari tapak pelupusan sampah, selain menangani isu sisa makanan melalui perubahan tingkah laku yang konsisten.

Bercakap ketika pelancaran inisiatif ‘Food Waste to Wealth, Azlan Yaacob, Ketua Pengasas GreenSteps Malaysia berkata percubaan untuk menangani isu sisa makanan di komuniti TTDI sebelum ini tidak berdaya maju dan perlu direka semula.

Beliau menjelaskan, GreenSteps Malaysia mengemukakan model ekonomi kitaran yang menekankan pengasingan sumber sebagai langkah pertama yang penting dalam kalangan isi rumah dan kafe-kafe untuk menangani aliran sisa organik dan yang boleh dikitar semula.

“Dengan mengamalkan pengasingan sumber dengan betul, komuniti dapat memastikan sisa kitar semula bersih, dan ini membawa kepada kadar lebih tinggi dan kualiti lebih baik bagi aspek kitar semula di Malaysia.

“Apa yang ditinggalkan adalah sisa organik yang boleh diubah menjadi kompos yang kaya dengan nutrien dan digunakan sebagai input yang berharga untuk membangunkan kebun-kebun ‘edible garden’ yang memberi manfaat kepada kesihatan serta kesejahteraan masyarakat menerusi hasil tempatan yang berkhasiat.

“Kerjasama dengan Panasonic melambangkan nilai kebersamaan kami dan menandakan satu langkah penting ke arah menangani isu-isu pengurangan dan penyesuaian perubahan iklim menerusi data pengurangan pelepasan karbon bagi membimbing tindakan perubahan iklim, sambil melaksanakan aspek kitar semula,” katanya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Mayor Datuk Seri Hj. Mahadi bin Che Ngah menyatakan sokongannya terhadap perkongsian dan usaha komuniti. Beliau berkata, “Saya amat menggalakkan dan menyokong inisiatif terpuji ini kerana ia mempromosikan tindakan perubahan iklim yang proaktif dalam kalangan penduduk dan perniagaan.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua organisasi berhubung pendekatan hebat ini dalam menghasilkan penyelesaian komuniti berasaskan alam. Ia memberi penekanan betapa pentingnya merakam data pengurangan pelepasan karbon menerusi aplikasi GreenSteps Malaysia untuk menjadi panduan terhadap tindakan perubahan iklim kini dan masa depan.”

Bagi menyokong pendekatan menyeluruh komuniti ke arah pengurusan sisa yang lebih baik, Panasonic Malaysia bersama GreenSteps Malaysia menganjurkan pertandingan ‘Food Waste to Wealth’ selama tiga bulan bermula 1 April hingga 30 Jun 2023, di mana penduduk TTDI berpeluang untuk memenangi baucar tunai sehingga RM15,000.

Penduduk yang mengambil bahagian dalam pertandingan perlu mengasingkan sisa mereka dalam tiga kategori: sisa organik (sisa makanan), sisa yang boleh dikitar semula (plastik, aluminium, kaca, kertas sisa elektronik atau e-waste), dan sisa yang tidak boleh dikitar semula (pelitup muka, lampin kotor, dan produk pembersihan).

Untuk menang baucar Panasonic sehingga RM 10,000, penduduk perlu memuat turun aplikasi GreenSteps Malaysia dan mendaftar akaun ‘Household’ untuk merekodkan jumlah sisa makanan yang berjaya dikompos. Ini juga membolehkan mereka mengukur pengurangan pelepasan karbon secara konsisten sambil mengumpul mata GreenPoints melalui usaha mereka.

Bagi menjana ekonomi kitaran, penduduk yang mengumpul mata GreenPoints apabila mengompos sisa makanan dengan kerap dan memasukkan data dalam aplikasi GreenSteps Malaysia akan diberi ganjaran berbentuk baucar sehingga RM 5,000 yang boleh ditebus di kafe-kafe GreenSteps yang mengambil bahagian di TTDI.

Kafe-kafe GreenSteps tersebut merupakan kafe yang mengamalkan pengasingan sumber dan komited untuk mengubah tingkah laku. Sepanjang pertandingan, penduduk dapat mengakses tips dan sumber yang bernilai dari halaman media sosial GreenSteps untuk menggalakkan penyertaan aktif dalam aktivity amalan pengasingan sumber dan pengkomposan secara berkesan.

Sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk mengukuhkan amalan mampan, Panasonic Malaysia dengan sokongan GreenSteps Malaysia baru-baru ini telah melaksanakan sistem pengasingan sumber di ibu pejabatnya, selaras dengan ikrar global syarikat untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Inisiatif ini membabitkan pekerja yang mengambil tindakan perubahan iklim ke arah masa depan yang lebih hijau, sambil membolehkan mereka menjadi penyokong untuk masa depan yang lebih mampan.

Bagi memperagakan langkah-langkah hijau yang dilaksanakan dalam komuniti TTDI, Azlan Yaacob telah mengetuai Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Hj. Mahadi bin Che Ngah dan Keisuke Nishida melawat Zon Sifar Sisa atau ‘Zero Waste Zone’ di sepanjang Jalan Datuk Sulaiman bagi mempamerkan nilai pengurusan sisa yang betul di persekitaran bandar.

Salah satu penyelesaian utamanya termasuk mengubah aliran hampas kopi dan daun teh yang telah digunakan dari kafe ke tapak pengkomposan yang berhampiran bagi mengelakkan sisa tersebut dibuang ke tapak pelupusan untuk tujuan pembangunan kebun-kebun bandar dan mengurangkan pembuangan sampah di kawasan berkenaan.

Kerjasama strategik antara Panasonic Malaysia dan Greensteps Malaysia membabitkan empat Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu – (11) Bandar & Komuniti Mampan, (12) Penggunaan & Pengeluaran yang Bertanggungjawab, (13) Tindakan Perubahan Iklim dan (17) Perkongsian untuk Matlamat yang sejajar visi persekitaran jangka panjang Panasonic bagi menyumbang ke arah kesejahteraan rakyat dan masyarakat serta persekitaran global yang mampan.

“Kami dengan penuh semangat berharap dapat bekerjasama rapat dengan Greensteps Malaysia bagi memperkayakan kehidupan masyarakat TTDI dan berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak orang untuk mengambil tindakan perubahan iklim ke planet yang lebih hijau dan bersih,” tambah Nishida.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pertandingan ‘Food Waste to Wealth’, sila lawati Greensteps Malaysia di Facebook dan Instagram. Untuk memulakan penjejakan dan mengukur pelepasan pengurangan karbon anda, sila muat turun aplikasi Greensteps Malaysia dengan melawat pautan https://linktr.ee/GreenSteps_

The post Panasonic Sokong Peralihan Komuniti TTDI Ke Arah Masyarakat Rendah Karbon appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*