Papan Tanda Tulisan Jawi Diwajibkan Di Perlis Mulai 1 Februari

Papan Tanda Tulisan Jawi Diwajibkan Di Perlis Mulai 1 Februari

KANGAR — Bermula 1 Februari hadapan, kerajaan negeri Perlis mewajibkan penggunaan tulisan jawi pada setiap papan tanda premis perniagaan di seluruh negeri berkenaan, lapor Astro Awani.

Perkara itu dimaklumkan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil.

Katanya, ia juga melibatkan papan tanda iklan atau ‘billboard’ dan papan tanda jalan di taman perumahan serta kawasan kejiranan di Perlis.

“Kerangka garis panduan terhadap penguatkuasaan berkenaan sedang berada pada fasa terakhir untuk dimuktamadkan namun ketetapan sudah pun dibuat di mana bermula 1 Februari akan datang, kita akan mewajibkan setiap papan tanda premis perniagaan serta iklan di negeri ini wajib mempunyai tulisan jawi padanya.

“Kewajipan ini adalah membabitkan permohonan baharu mana-mana premis perniagaan yang mahu menaikkan papan tanda premis perniagaan mereka yang baharu tanpa mengganggu papan tanda iklan yang sedia ada.

“Maksudnya, sekiranya ada pemilik perniagaan yang mempunyai papan tanda premis perniagaannya yang masih elok namun tiada sebarang tulisan jawi padanya… masih dibenarkan untuk terus menggunakannya.

“Sebaliknya jika pemilik perniagaan mahu menggantikan papan tanda premis perniagaannya yang sudah rosak atau pudar kepada yang baharu, maka mereka wajib menyertakan sekali tulisan jawi pada papan tanda perniagaan mereka itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui di pejabatnya di Kompleks Kerajaan Negeri di Persiaran Wawasan.

BACA: Budak 11 Tahun Maut Dalam Kemalangan, Bapa Saudara Parah

Mengulas lebih lanjut, Asrul berkata, penguatkuasaan itu adalah usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan dan mendedahkan tulisan jawi kepada semua lapisan masyarakat di negeri utara tanah air itu.

“Perkara ini sebenarnya sudah pun diuar-uarkan oleh Menteri Besar (Mohd Shukri Ramli) dalam usaha untuk menghidupkan tulisan jawi kepada masyarakat supaya ia lebih dikenali sebagai satu bentuk tulisan asal di negara ini yang sudah sekian lama digunakan.

“Selain itu, ramai generasi hari ini, tidak begitu tahu akan perihal tulisan jawi ini jadi ini juga adalah sebagai usaha untuk mendedahkan semula tulisan ini kepada mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya akan berkolaborasi dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Munsyi Jawi untuk memastikan kaligrafi jawi yang digunakan adalah betul dan tepat.

“Papan tanda premis perniagaan ini akan membabitkan dwibahasa iaitu bahasa Melayu menerusi tulisan rumi dan tulisan jawi manakala sekiranya papan tanda premis itu turut mempunyai bahasa ibunda yang lain seperti bahasa Mandarin atau Tamil, ia tetap tidak mempunyai masalah untuk menyertakan sekali bersama tulisan jawi pada papan tanda itu.

“Malah, penguatkuasaan ini turut membabitkan semua premis perniagaan yang mempunyai lesen operasi daripada Majlis Perbadaran Kangar tanpa mengambil kira sama ada premis perniagaan itu menjual barangan tidak halal atau sebaliknya,” jelasnya.

Sebelum ini, Kelantan, Kedah, Pahang dan Melaka merupakan antara negeri yang telah memulakan langkah tersebut bagi memperkasakan tulisan jawi pada setiap papan tanda premis perniagaan serta iklan.

Sumber: Astro Awani

The post Papan Tanda Tulisan Jawi Diwajibkan Di Perlis Mulai 1 Februari appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*