Pasangan Kekasih Terlepas Tali Gantung, Dipenjara 30 Tahun Bunuh Bayi

kekasih bunuh bayi

Pasangan Kekasih Terlepas Tali Gantung, Dipenjara 30 Tahun Bunuh Bayi

PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) —  Sepasang kekasih terlepas hukuman gantung atas kesalahan membunuh bayi perempuan mereka yang baru dilahirkan pada 2017 selepas Mahkamah Rayuan hari ini buat julung kalinya melaksanakan pindaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang diluluskan April lepas.

Tertuduh lelaki, 27, dan tertuduh perempuan, 28, sebaliknya dijatuhi hukuman penjara 30 tahun. Mahkamah turut memerintahkan Fikri dikenakan sebatan 12 kali.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berkata ketika Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman ke atas perayu pada 2021, hukuman bagi kesalahan membunuh adalah mati mandatori.

Hakim Vazeer berkata berikutan pindaan undang-undang itu, hukuman mati mandatori telah dimansuhkan dan mahkamah diberi pilihan atau budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan bagi pesalah lelaki.

“Selepas mempertimbangkan mitigasi dan fakta kes, kami menggunakan budi bicara kami untuk menggantikan kepada hukuman penjara selama 30 tahun ke atas kedua-dua perayu (pasangan kekasih) dari tarikh tangkapan,” katanya sambil menambah Fikri juga akan dikenakan 12 sebatan rotan.

Panel itu turut dianggotai dua lagi hakim iaitu Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Wong Kian Kheong.

Ia merupakan kes pembunuhan pertama yang didengar oleh Mahkamah Rayuan selepas pindaan undang-undang itu pada April lepas.

Ketika menolak rayuan mereka terhadap sabitan, Hakim Vazeer berkata selepas menimbangkan keterangan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan terdapat niat bersama oleh kedua-dua perayu untuk melakukan kesalahan itu.

Beliau juga berkata tiada percanggahan dalam keterangan yang diberikan oleh jururawat dan doktor dalam perbicaraan itu.

BACA: Wanita Ditahan, Dipercayai Berpakat Dengan Kekasih Bunuh Suami

Pasangan itu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, Johor Bahru pada 31 Okt 2021 kerana membunuh bayi perempuan mereka di sebuah rumah di Taman Bandar Penawar Utama, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor Bahru antara 10.50 malam pada 12 Dis 2017 dan 10.41 pagi keesokan harinya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh perempuan telah melahirkan bayi itu di sebuah rumah dan telah dibawa ke wad kecemasan Hospital Kota Tinggi selepas mengalami pendarahan selepas bersalin.

Dia memaklumkan kepada seorang jururawat di wad kecemasan bahawa dia telah melahirkan bayi tetapi bayi itu telah diambil oleh teman lelakinya.

Pada 5 Dis 2017, tertuduh lelaki memberitahu seorang pegawai polis bahawa bayi itu telah dikebumikan dan dia kemudian membawa pasukan polis ke kawasan hutan di Kampung Panti Kota Tinggi lokasi di mana bayi itu dikebumikan.

Pasukan itu kemudian menggali dan menemukan mayat bayi itu.

Hasil bedah siasat mendapati bayi seberat 1.8kg itu masih hidup ketika dilahirkan dan punca kematian disebabkan lemas.

Mayat bayi itu ditemukan dengan stokin kecil berwarna hitam dan biru yang disumbat ke dalam mulutnya. Pasangan itu ditahan pada 5 Dis 2017.

BACA: Teman Lelaki Didakwa Bunuh, Bakar Kekasih Hamil

Terdahulu, kedua-dua peguam perayu, Anita Vijaya Rajah yang mewakili tertuduh lelaki dan peguam tertuduh perempuan, Shaik Saleem Shaik Mohamed Daud, memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman mati ke atas anak guam mereka.

Anita Vijaya berkata anak guamnya telah bercinta dengan tertuduh perempuan sejak 2016 dan mereka menjadi mangsa keadaan.

Katanya, pasangan itu mempunyai seorang lagi anak yang telah diserahkan kepada orang lain.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman menggesa mahkamah mengekalkan hukuman mati terhadap kedua-dua perayu.

Beliau berkata sekiranya mahkamah tidak bersetuju, beliau meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sekurang-kurangnya 35 tahun ke atas pasangan itu.

Sumber: BERNAMA

The post Pasangan Kekasih Terlepas Tali Gantung, Dipenjara 30 Tahun Bunuh Bayi appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*