Peguam Najib Bantah Hakim Mahkamah Rayuan Anggotai Panel Dengar Semakan

Peguam Najib bantah Hakim Mahkamah Rayuan anggotai panel dengar semakan

PUTRAJAYA, 19 Jan (Bernama) — Peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan prosiding permohonan bekas perdana menteri itu untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan serta hukuman kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dengan membantah panel hakim hari ini.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membantah hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais menganggotai panel hakim yang bersidang di Mahkamah Persekutuan bagi mendengar permohonan semakan itu.

Peguam itu berkata Abu Bakar tidak seharusnya menganggotai panel yang mendengar permohonan tersebut dan mahu hakim itu menarik diri atas alasan hanya hakim Mahkamah Persekutuan yang sepatutnya mendengar permohonan semakan itu.

Muhammad Shafee berkata mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1974, komposisi hakim Mahkamah Persekutuan mestilah terdiri daripada semua hakim Mahkamah Persekutuan.

“Ini bukan soal peribadi kerana saya mengenali hakim Abu Bakar sejak dalam perkhidmatan lagi,” katanya.

Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berkata hakim Mahkamah Rayuan dibenarkan bersidang di Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berhujah bahawa bantahan terhadap hakim perlu menunjukkan bahaya berlakunya berat sebelah.

Abu Bakar antara panel lima hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli untuk mendengar permohonan semakan Najib itu.

Hakim lain dalam panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.

Najib sedang berusaha untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas dalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Sumber: BERNAMA

The post Peguam Najib Bantah Hakim Mahkamah Rayuan Anggotai Panel Dengar Semakan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*