Pekerja kedai makan maut motosikal rempuh ‘King’

ALOR GAJAH – Seorang pekerja kedai makan maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah Perodua Myvi di Jalan Dato’ Dol Said, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi itu, mangsa, Mohd. Rostam Ghazalli, 41, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dalam perjalanan dari arah Kelemak ke Alor Gajah.

“Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Perodua Myvi dari arah Alor Gajah menghala ke Sekolah Rendah Naning telah membelok untuk masuk ke simpang kanan.

“Mangsa yang datang dari arah Kelemak bagaimanapun telah merempuh pintu sebelah penumpang kereta tersebut menyebabkannya mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, pemandu kereta berkenaan yang merupakan seorang suri rumah berusia 37 tahun turut mengalami kecederaan pada bahagian hidung dan dirawat di Zon Hijau di Hospital Alor Gajah.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-KOSMO! ONLINE

The post Pekerja kedai makan maut motosikal rempuh ‘King’ appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*