Pelajar Maut Kemalangan Seorang Periang, Suka Bergurau
BATU PAHAT, 26 Okt (Bernama) — Shahrunizam Mohd Shamsul, pelajar Tingkatan Lima yang maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 13.5, Jalan Batu Pahat-Kluang di sini semalam merupakan seorang yang periang dan suka bergurau selain taat kepada kedua ibu bapanya.
Kakak mangsa, Rifa Nur Hana, 20, berkata kali terakhir dia berbual dengan adiknya itu pada tiga hari lepas melalui panggilan telefon kira-kira 7 malam.
Rifa yang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak, berkata seperti biasa Shahrunizam akan mengusik dan meminta agar mendoakan keputusan yang baik dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu depan.
“Dia (arwah) yang membahasakan dirinya ‘abang’ kerap menghubungi saya selepas saya melanjutkan pelajaran di UPSI pada 13 Okt lepas, selain seperti biasa sering bergurau dan meminta saya balik rumah kerana telah rindu.
“Bila kakak nak balik, tak rindu abang ke? Abang juga nak kakak doakan biar dapat keputusan yang baik dalam percubaan (SPM) minggu depan…itu antara perbualan terakhir kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Gading di sini hari ini.
Dalam pada itu, ibu mangsa, Siti Shalwani Kamaruddin, 42, berkata Shahrunizam yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik, sememangnya seorang yang baik dan tidak pernah melawan cakap ibu bapanya.
“Arwah juga ringan tulang dan sering membantu ayahnya di gerai pisang goreng tidak jauh dari rumah. Kami akan sentiasa ingat pada dia terutamanya perangainya yang suka bergurau,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata dalam kemalangan pada 7.20 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai hilang kawalan apabila terlihat sebuah lori sedang membuat pusingan U sebelum melanggar bahagian tangki minyak lori tersebut dan berlaku satu letupan kecil.
“Mangsa cedera parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat,” katanya ketika ditemui di sini.
Terdahulu, tular video berdurasi 30 saat menunjukkan mangsa yang dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading kira-kira tujuh kilometer dari kediamannya, melanggar lori yang dilihat tiba-tiba membuat pusingan U.
Sumber: BERNAMA
The post Pelajar Maut Kemalangan Seorang Periang, Suka Bergurau appeared first on Siakap Keli.
Be the first to comment