Pelajar Tingkatan Lima Maut Dalam Perjalanan Ke Sekolah

pelajar maut

Pelajar Tingkatan Lima Maut Dalam Perjalanan Ke Sekolah

ALOR SETAR, 27 Mac (Bernama) — Seorang pelajar Tingkatan Lima yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta dipandu seorang guru perempuan di Jalan Felda, Sungai Tiang dekat Pendang hari ini.

Difahamkan sebelum kejadian pada kira-kira 7.20 pagi itu, mangsa Muhammad Hasrul Hakimi Ibrahim yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang baru sahaja menghantar dua adiknya berusia 10 dan 12 tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang.

Ibu mangsa Halimaton Naimah Mat Isa, 37, berkata anak sulung daripada lima adik beradik itu keluar rumah pada 7 pagi tadi bersama dua adiknya yang mengikuti program pendidikan khas untuk ke sekolah masing-masing.

“Kadang-kadang, sebelum ke sekolah arwah akan menghantar dua adiknya itu dengan menaiki motosikal dari rumah kami di Kampung Kubang Badak, Pendang kerana mereka sangat rapat. Semasa bersahur pagi tadi pun, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan cuma dia tidak banyak bersembang seperti biasa.

“Jadi, memang saya tidak rasa apa-apa sangat sehinggalah saya menerima panggilan telefon daripada seorang daripada guru di sekolah adik-adiknya memaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anak sulung saya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Halimaton Naimah berkata pemergian Muhammad Hasrul memang dirasai kerana anak lelakinya itu seorang yang ringan tulang dan selalu membantunya menoreh getah selain membantu bapanya di tempat kerja dengan mengawal lalu lintas di kawasan kuari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang DSP Arriz Sham Hamezah mengesahkan kejadian itu berkata kemalangan berlaku apabila mangsa sedang dalam perjalanan ke SMK Sungai Tiang setelah menghantar adiknya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang keluar dari simpang kiri.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa telah terbabas ke kanan jalan lalu melanggar pokok dan pagar sebuah pejabat yang terletak di situ, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Pelajar Tingkatan Lima Maut Dalam Perjalanan Ke Sekolah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*