APM Kedah Kenal Pasti 38 Lokasi Kawasan Rekreasi Berisiko Berlaku Kepala Air

apm kedah lokasi kepala air

APM Kedah Kenal Pasti 38 Lokasi Kawasan Rekreasi Berisiko Berlaku Kepala Air

YAN, 5 Julai (Bernama) — Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah mengenal pasti 38 lokasi kawasan rekreasi dan sungai di 10 daerah di negeri ini berisiko berlaku kejadian kepala air serta banjir lumpur.

Timbalan Pengarah APM Kedah Mej (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata daerah Baling mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 11 lokasi yang berhadapan risiko kejadian itu antaranya di Lata Bukit Hijau; Lata Celak Iboi; Air Panas Ulu Legong; Lata Baling; Lata Bayu dan Lata Nering.

“Kita juga meninjau di sembilan daerah lain yang melibatkan 27 kawasan iaitu daerah Sik melibatkan lima lokasi iaitu Lata Mengkuang; Pusat Peranginan Rimba Takwa; Lata Charok Rambai; Lata Batu Hampar Hujung Bandar dan Sungai Viral.

“Selain itu, lima kawasan di daerah Yan turut berisiko iaitu Titi Hayun; Air Terjun Seri Perigi; Air Terjun Batu Hampar; Taman Rekreasi Sungai Badak dan Sungai Bukit Kuari,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Muaz berkata daerah Kulim melibatkan kawasan Kem Rekreasi Sungai Sedim; Kem Rekreasi Ulu Paip; Lata Bukit Hijau dan Pusat Rekreasi Air Putih Junjung manakala Lubuk Semilang; Durian Perangin; Telaga Tujuh dan Air Terjun Temurun di Langkawi.

BACA JUGA: 22 Lokasi Disenarai Berisiko Kepala Air Di Terengganu, Ini Empat Petanda Awal Perlu Waspada

“Di daerah Kuala Muda melibatkan tiga lokasi iaitu Air Terjun Batu Pahat; Damai Park Resort dan Pusat Peranginan Tupah; manakala di daerah Padang Terap pula berisiko di Taman Eco Rimba Puncak Janing dan Air Terjun Sungai Seraya,” katanya.

Beliau berkata kawasan peranginan Bukit Wang dan Sungai Batu merupakan kawasan berisiko bagi daerah Kubang Pasu manakala daerah Pendang dan Bandar Baharu pula dengan masing-masing satu kawasan iaitu Rimba Rekreasi Bukit Perak dan Batu Hampar Air Putih.

Sehubungan itu, Mohd Muaz menasihati orang ramai untuk lebih berhati-hati ketika mengunjungi kawasan rekreasi tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku terutamanya dalam keadaan cuaca tidak menentu pada masa ini.

“Kita tak boleh menghalang orang awam yang nak berkunjung tetapi kita mengingatkan supaya mereka lebih peka dan berhati-hati di kawasan tersebut lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang tak menentu ketika ini, lihat perubahan pada air dan kelajuan dan paras air naik mendadak, pada ketika itu beredarlah cari kawasan selamat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Muaz berkata APM Kedah mempunyai seramai 120 anggota penyelamat (SAR) bagi kawasan sebelah Utara dan Selatan yang terlatih untuk digerakkan pada bila-bila masa sahaja apabila berdepan sebarang situasi bencana alam.

“Kedah ada pasukan yang terlatih dan memang bersedia untuk sebarang kemungkinan sama ada di darat, air dan kawasan rekreasi, mereka bersedia di Utara dan Selatan Kedah dan sedia digerakkan dalam operasi SAR,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post APM Kedah Kenal Pasti 38 Lokasi Kawasan Rekreasi Berisiko Berlaku Kepala Air appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*