Pemandu Wanita Sakit Dada Masuk Laluan Bertentangan Punca Kemalangan Enam Kenderaan

wanita sakit dada kemalangan

Pemandu Wanita Sakit Dada Masuk Laluan Bertentangan Punca Kemalangan Enam Kenderaan

BALIK PULAU, 11 Jun (Bernama) — Seorang wanita yang mengalami sakit dada ketika memandu telah hilang kawalan sehingga masuk ke laluan bertentangan dan menyebabkan kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Balik Pulau, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata kemalangan yang berlaku pada 9 pagi melibatkan tiga kereta dan tiga motosikal itu telah menyebabkan dua mangsa mengalami kecederaan parah.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila pemandu wanita berusia 59 tahun yang mengalami sakit dada, dari arah pekan Balik Pulau telah memasuki ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta dari Simpang Empat.

“Tiga motosikal tidak sempat mengelak dengan sebuah daripadanya (motosikal) telah terbabas dan melanggar sebuah lagi kereta yang diletakkan di kawasan parkir kedai makan tomyam di situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kemalangan itu telah menyebabkan dua orang cedera parah, dua berada di zon kuning, dua di zon hijau serta seorang lagi tidak mengalami kecederaan dan kesemua mereka sedang dirawat di Unit Kecemasan Hospital Balik Pulau.

Kamarul Rizal berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes itu disiasat menurut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular video di lokasi kejadian kemalangan yang turut memaparkan seorang wanita sedang mengalami sakit dada manakala seorang mangsa lelaki dalam keadaan terbaring di dalam parit tepi jalan berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata polis menahan sembilan individu yang positif dan memiliki dadah dalam Op Noda yang dijalankan di pusat hiburan di sini.

“Dalam operasi bermula tengah malam semalam itu, pihaknya menahan sembilan pengunjung pusat hiburan dan kesemua mereka disiasat menurut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kamarul Rizal berkata pemeriksaan di pusat-pusat hiburan di daerah Barat Daya akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengesan suspek-suspek jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Sumber: BERNAMA

BACA: Tsutaya Books Bukit Jalil Kecewa, Kulit Buku Dijual Dikoyak & Muka Surat Hilang

The post Pemandu Wanita Sakit Dada Masuk Laluan Bertentangan Punca Kemalangan Enam Kenderaan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*