Pembuat Wau Bulan Mrs Malaysia Bangga Seni Kraf Dijulang Di Pentas Dunia

Wau Bulan Mrs Malaysia

Pembuat Wau Bulan Mrs Malaysia Bangga Seni Kraf Dijulang Di Pentas Dunia

KOTA BHARU, 24 Jan (Bernama) — Mula menceburi seni pembuatan kraf wau tradisional seawal usia empat tahun, siapa sangka Mohd Azeimi Muhd Noor, 45, merupakan tulang belakang dalam rekaan kostum Mrs Malaysia World 2023 di pentas antarabangsa.

Lebih mesra disapa ‘Mie Sering’, penglibatan kali pertama menghasilkan kostum ‘Wan Bulan’ bagi pertandingan ratu dunia itu sudah pasti tidak disia-siakan walaupun mengakui berdepan kesukaran dan cabaran sepanjang pembuatan wau bulan gergasi berkenaan.

“Pada Ogos tahun lepas, pereka busana dari Sarawak iaitu Saran Lagong telah berjumpa dan berbincang dengan saya untuk membuat kostum wau bulan kepada wakil Malaysia yang sertai Mrs World 2023 iaitu P. Vanishaantini.

“Saya ambil masa hampir tiga bulan untuk siapkan wau bulan berukuran 3.8 meter tinggi dan lebar 4.8 meter dengan berat kira-kira 10 kilogram (kg) kerana ingin memastikan peserta negara dapat membawanya dengan selesa dan selamat sewaktu pertandingan,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Sering, hari ini.

Menurut Mohd Azeimi, susulan pengiktirafan diberikan kepada kostum wau terbesar itu oleh Malaysia Book Of Records (MBOR), kostum berkenaan tidak mudah untuk dibawa ke luar negara dan beliau terpaksa menggunakan teknik pasang siap iaitu boleh dilipat dan dipasang semula dengan cepat.

“Teknik melipat wau bulan ini merupakan cabaran paling besar yang terpaksa saya lakukan kerana hendak pastikan ukiran wau bulan tidak rosak serta buluh-buluh yang digunakan tidak patah dan sebagainya.

“Memandangkan saya tidak sertai pasukan Malaysia ke pertandingan itu, segala persiapan dan kelengkapan wau bulan ini perlu saya pastikan berada dalam keadaan baik dan selamat, selain perlu membuat video tutorial supaya pasukan ke pertandingan itu dapat membantu memasang wau bulan kepada peserta kita,” katanya.

Beliau yang pernah menjuarai Festival Layang-Layang Antarabangsa di Turkiye pada 2018 berkata wau merupakan satu daripada lambang kebudayaan Malaysia terkenal di seluruh dunia kerana keunikan ukiran dan kehalusan hasil kerja tangan yang mungkin memberi kelebihan kepada peserta negara.

“Saya yakin rakyat Malaysia pasti bangga apabila seni kraf wau telah dikenali banyak negara melalui pertandingan ini, selain peranan pihak kerajaan dalam mempromosi serta memartabakan seni ini secara berterusan,” katanya yang sudah 16 kali memenangi tempat pertama Pertandingan Wau Tradisi Bengkel Kebangsaan sejak 2007.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Mrs Malaysia World 2023 P. Vanishaantini yang tampil memperagakan wau terbesar meraih anugerah Most Original Costume pada pertandingan Mrs World 2023 di Las Vegas, Amerika Syarikat, selain turut meraih tempat keenam keseluruhan.

Vanishaantini yang membawa budaya Malaysia ke pentas antarabangsa tampil dengan penuh keanggunan dan elegan dengan busana dikenali ‘Puteri Wau Bulan’.

Gelaran Mrs World 2023 dimenangi wakil dari Jerman manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing menjadi milik wakil Kanada dan Colombia.

BACA: Mudah & Pantas, Tip Nak Hilangkan Rasa Pijar Cili Pada Tangan

Sumber: Bernama

The post Pembuat Wau Bulan Mrs Malaysia Bangga Seni Kraf Dijulang Di Pentas Dunia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*