Penemuan Fosil Karang Purba, JMG Perak Akan Laksana Pemetaan Geologi

fosil jmg perak

Penemuan Fosil Karang Purba, JMG Perak Akan Laksana Pemetaan Geologi

KAMPAR, 22 Jan (Bernama) — Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak akan bekerjasama dengan agensi berkaitan serta komuniti di Kampung Changkat Tualang untuk menjalankan proses pemetaan geologi awal secara terperinci di kawasan penemuan fosil karang purba.

Pengarahnya Nizarulikram Abdul Rahim berkata proses itu akan dilaksanakan segera tahun ini termasuk kerja-kerja pesampelan di kawasan tersebut.

“Proses pemetaan ini melibatkan kerja pencirian kepelbagaian geologi, proses menentukan nilai warisan dan lain-lain kerja bagi merekodkan fosil yang ditemui selain kita nak nilai keluasan kawasan yang perlu diwartakan.

“Sama ada sampel fosil akan dibawa keluar dari kawasan ini atau tidak bergantung kepada hasil lapangan JMG kelak, namun JMG berpendirian lebih baik dikekalkan untuk tatapan orang ramai, pengkaji dan pihak berkepentingan lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke geotapak penemuan fosil karang purba yang berusia lebih 300 juta tahun di Kampung Changkat Tualang, dekat sini.

BACA: Fosil Tapak Kaki Dinosaur Didakwa Ditemui Di Thailand

Nizarulikram berkata penemuan fosil karang purba itu suatu yang sangat bermakna dan perlu dipelihara kerana ia merupakan satu-satunya geotapak di Geotapak Lembah Kinta yang mempunyai fosil karang.

“JMG menyokong hasrat kerajaan negeri yang mahukan kawasan ini diwartakan sebagai satu daripada geotapak baharu.  Selepas kerja pemetaan dan sampel fosil ditemui, kemudian kita akan cadangkan kawasan ini dijadikan tambahan satu daripada geotapak yang ada di Lembah Kinta.

“Kita akan cuba kekalkan agar elemen pemuliharaan dapat dilakukan supaya fosil di zaman lewat Paleozoik ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerjasama erat antara komuniti dengan pihak berkuasa tempatan termasuk agensi kerajaan berkaitan diperlukan agar keselamatan fosil di kawasan itu dapat dilindungi.

Menurutnya kerjasama tersebut penting kerana apabila kawasan itu akan menjadi tarikan orang ramai, dibimbangi fosil akan rosak jika tiada langkah keselamatan diambil.

Sabtu lepas, penyelidik Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (GEONAT) menemui fosil karang purba pelbagai spesies dianggarkan berusia 300 juta tahun di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Mohd Azlan Helmi kemudian berkata kerajaan Perak akan mewartakan kawasan seluas 6.9 hektar itu sebagai satu lagi geotapak di negeri ini.

Sumber: BERNAMA

The post Penemuan Fosil Karang Purba, JMG Perak Akan Laksana Pemetaan Geologi appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*