Penggunaan Kamera Badan Polis Mula Berkuat Kuasa Oktober Ini

kamera badan polis oktober

Penggunaan Kamera Badan Polis Mula Berkuat Kuasa Oktober Ini

Penggunaan kamera badan (BWC) oleh pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lapangan akan mula berkuat kuasa secara berperingkat pada Oktober depan, lapor Sinar Harian.

Difahamkan, sebanyak 7,648 unit BWC dijangka akan diterima PDRM secara berperingkat mulai September tahun ini hingga Februari 2025.

Menurut Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata penerimaan tersebut berdasarkan Surat Setuju Terima (SST) yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

“BWC itu adalah untuk penugasan MPV dan URB di bawah JPJKK, selain akan diperluaskan untuk penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT),” katanya kepada pemberita pada hari ini.

Menurutnya, BWC bakal ditempatkan di 157 ibu pejabat polis daerah (IPD) serta 640 balai polis di seluruh kontinjen.

“Pada masa ini, kita menjangkakan BWC akan digunakan sepenuhnya oleh petugas-petugas MPV dan URB pada Mac 2025.

“Bagi memastikan semua petugas MPV dan URB mahir dalam mengendalikan BWC, latihan penggunaan akan dilaksanakan mulai Mac 2025 hingga Disember 2025,” jelasnya.

Jelas Wan Hassan, penggunaan tersebut selaras dengan kepolisan moden di mana PDRM yang merupakan agensi tunggal keselamatan awam dalam penggunaan teknologi terkini.

“Selari dengan perkembangan teknologi dan penugasan kepolisan yang semakin mencabar, saya berharap penggunaan BWC dapat meningkatkan tatakelola yang baik dalam penugasan rondaan pencegahan jenayah dikalangan petugas MPV dan URB,” katanya.

Wan Hassan berkata BWC bakal meningkatkan lagi imej PDRM dalam kalangan masyarakat kerana rakamannya boleh dijadikan bukti di mahkamah.

“Selain bukti sebarang kes jenayah termasuk kes yang membabitkan petugas difitnah semasa menguatkuasakan undang-undang,” ujarnya.

Kamera badan berupaya kesan salah laku – Bukit Aman

Penggunaan BWC itu mampu merakam tindakan polis serta mengesan mereka yang dipercayai terlibat dengan kesalahan tatatertib dan masalah integriti.

Wan Hassan berkata pada masa yang sama, peranti ini juga tidak mempunyai fungsi untuk menghapus segala rakaman bagi menghilangkan bahan bukti.

“Setiap pengguna (pegawai, anggota yang memakai BWC) akan dibekalkan ID khas semasa penugasan.

“BWC ini mampu merakam video dan audio sehingga lapan jam penugasan serta akan dijadikan rakaman bukti percakapan dan perbuatan pesalah (individu yang diperiksa),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian ini.

Tambah Wan Hassan lagi, BWC bakal disenaraikan sebagai salah satu aksesori wajib dalam pemakaian semasa berada dalam tugasan.

“Adalah menjadi kesalahan tatatertib bagi mana-mana pegawai atau anggota polis yang gagal mematuhi arahan pemakaian BWC ini khasnya kepada petugas Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

“Bagi memastikan arahan pemakaian dan penggunaan BWC dilaksanakan sepenuhnya, prosedur operasi standard (SOP) penggunaannya telah siap dan berada dalam peringkat kemas kini untuk dihebahkan kepada semua peringkat pegawai polis di seluruh kontinjen,” ujarnya.

Tambahnya lagi, BWC bukan sahaja mampu membanteras kes-kes kesalahan tatatertib dan integriti dalam kalangan petugas polis.

Pemakaian peranti ini juga mampu memberi perlindungan kepada petugas daripada sebarang tuduhan ketika melaksanakan tugas.

“Penggunaan BWC juga mampu meningkatkan integriti dikalangan pegawai dan anggota polis, di mana ia dapat mencegah dan mengurangkan salah laku serta meningkatkan rasa selamat dikalangan orang awam,” katanya lagi.

BACA: Sultan Ibrahim Lafaz Sumpah Jawatan Yang Di-Pertuan Agong Ke-17

Sumber: Sinar Harian

The post Penggunaan Kamera Badan Polis Mula Berkuat Kuasa Oktober Ini appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*