Penghijrahan Cacing Di Permukaan Tanah Normal, Tindak Balas Terhadap Alam Sekitar – Pakar

cacing tanah normal

Penghijrahan Cacing Di Permukaan Tanah Normal, Tindak Balas Terhadap Alam Sekitar – Pakar

KUALA TERENGGANU, 8 Jan (Bernama) — Kemunculan cacing di permukaan tanah yang dikesan di Kampung Merang dekat sini semalam adalah fenomena normal membabitkan proses tindak balas biologi haiwan berkenaan terhadap alam sekitar yang bermigrasi ke kawasan lain.

Pensyarah Biologi, Diversiti dan Ekologi Invertebrat Bentik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Izwandy Idris berkata penghijrahan cacing tanah dalam kuantiti yang besar adalah disebabkan proses komunikasi haiwan itu yang bersentuhan dengan cacing yang lain ketika membuat perjalanan ke permukaan tanah.

Dengan merujuk kepada kejadian kehadiran banyak cacing di permukaan tanah yang dilaporkan media semalam, beliau percaya kumpulan cacing itu mengambil peluang kelembapan permukaan tanah ketika musim Monsun Timur Laut untuk bermigrasi.

“Sebenarnya, fenomena ini pernah berlaku sebelum ini iaitu pada 17 Jan 2017 di Sekolah Kebangsaan Kuala Ping, Hulu Terengganu. Orang ramai tidak perlu risau, sebab kalau ikutkan kejadian sebelum ini, selepas kejadian, tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau yang juga Ketua Unit di Pusat Rujukan dan Repositori Laut Cina Selatan (RRC) Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT bagaimanapun berkata tiada maklumat yang tepat buat masa ini mengapa haiwan itu bermigrasi, dan ia hanya berlaku di sesetengah tempat sahaja.

BACA: PM Anwar Akan Terus Guna Petikan Ayat Al-Quran Dalam Ucapan

Izwandy seterusnya menasihatkan penduduk kampung atau sesiapa sahaja yang menyaksikan kejadian sebegitu untuk tidak membunuh haiwan itu yang menurutnya penting kepada alam semula jadi.

Beliau berkata cacing tanah sangat membantu dalam kitaran semula jadi tanah dengan meningkatkan pengudaraan tanah yang merupakan proses kitar semula nutrien, dan menurutnya hal itu sekali gus memberi nilai tambah kepada tahap kesuburan tanah yang bermanfaat untuk aktiviti pertanian.

Sementara itu, Sakinah Zamri, 26, berkata beliau belum pernah melihat jumlah cacing yang sebegini banyak dalam satu masa di halaman rumahnya di Kampung Merang, sejak berpuluh tahun tinggal di situ.

Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika beliau sedang membersihkan halaman rumah bersama ahli keluarganya pada pagi Jumaat lepas, dan kehadiran haiwan invertebrata itu mudah disedari kerana saiznya yang jauh lebih besar berbanding spesies biasa yang sering ditemui, iaitu kira-kira 15 sentimeter (cm) panjang.

“Saiznya juga besar dan panjangnya dalam sejengkal. Selepas menjejaki puncanya saya dapati ia seolah-olah berlumba-lumba keluar dari kawasan berumput dan tergesa-gesa pula berhijrah ke tempat lain menuju ke bahagian sungai yang terletak di belakang rumah.

“Pada awalnya saya ingat kejadian ini hanya untuk sementara waktu, tetapi ia masih berterusan sehingga ke hari ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Lebih menghairankan katanya, kejadian hanya berlaku di sekitar kawasan rumahnya sahaja.

Sumber: BERNAMA

BACA: Kerap Makan Daging Mentah, Cacing Pita Sepanjang Dua Meter Keluar Dari Badan

The post Penghijrahan Cacing Di Permukaan Tanah Normal, Tindak Balas Terhadap Alam Sekitar – Pakar appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*