Siasatan Bermula, Penumpang Kongsi Detik-detik Nahas Kebakaran Pesawat Japan Airlines

detik kebakaran pesawat japan airlines

Siasatan Bermula, Penumpang Kongsi Detik-detik Nahas Kebakaran Pesawat Japan Airlines

Hari ini merupakan hari kedua pada tahun 2024 Jepun mengalami bencana berterusan selepas berlakunya insiden menakutkan apabila pesawat Japan Airlines terbakar ketika mendarat. 

Tragedi tersebut dilaporkan telah meragut nyawa lima kru pesawat Pengawal Pantai Jepun selepas ia bertembung dengan pesawat Japan Airlines di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.

Naib Presiden Kanan Keselamatan Korporat Japan Airlines, Tadayuki Tsutsumi berkata pihaknya kini telah memulakan siasatan bagi menentukan siapa yang bertanggungjawab dalam nahas kebakaran itu, lapor CNN.

Siasatan awal mendapati juruterbang pesawat Airlines yang terlibat dalam nahas itu berkata dia tidak mengesan sebarang pesawat di landasan sebelum mendarat.

Menurutnya, pesawat tersebut telah disahkan memasuki landasan yang biasa dimasuki dan mula mendarat dengan lancar sebelum berlakunya pertembungan.

“Pesawat memasuki landasan seperti biasa dan melakukan pendaratan yang biasa dilakukan sebelum terjadinya kemalangan jiwa tetapi kami masih menyiasat butiran lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan Japan Airlines, Noriyuki Aoki berkata semasa siasatan ia tidak jelas sama ada pesawat tersebut dibenarkan untuk mendarat atau mereka telah berkomunikasi tentangnya dengan kawalan trafik udara.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh menyatakan pada masa ini jika mereka (pesawat) dibenarkan untuk mendarat, atau jika mereka berkomunikasi dengan ATC, kerana itu adalah faktor asas dalam punca kemalangan.

“Kami masih cuba mengesahkan itu,” jelasnya.

Penumpang kongsi detik cemas berlaku kebakaran

Memetik CNN, penumpang Japan Airlines, Satoshi Yamake, 59, memaklumkan pada awalnya semua kelihatan normal semasa pesawat tersebut melakukan pendaratan.

Menceritakan kembali, Yamake berkata sebelum pengumuman dibuat untuk mengosongkan pesawat, dia melihat api keluar dari enjin hingga ia menimbulkan persoalan.

“Kami mendarat seperti biasa, tidak berasa terkejut atau apa-apa.

“Tetapi kemudian kami melihat api keluar dari enjin dan saya mendapati ia pelik. Ketika saya memikirkan mengapa api marak begitu lama.

“Tidak lama selepas itu, satu pengumuman dibuat dan mengatakan kami mungkin melanggar sesuatu di landasan dan perlu mengosongkan pesawat itu,” kata Yamake kepada CNN di Lapangan Terbang Haneda selepas dia dipindahkan daripada nahas kebakaran itu.

Jelasnya, semasa berada dalam pesawat, penumpang yang lain dapat menghidu bau asap namun mereka tidak panik kerana ia telah mendarat. 

Akui tidak takut dengan situasi tersebut, Yamake berkata dengan tenang bahawa dia yakin pesawat itu tidak akan meletup susulan sudah berada di darat.

“Kami dapat menghidu asap tetapi penumpang tidak terlalu panik.

“Saya tidak begitu takut. Memandangkan kami sudah mendarat, saya fikir pesawat itu mungkin tidak akan meletup pada ketika itu.

“Saya fikir kami patut berada dalam baik-baik saja asalkan semua orang turun dari pesawat dengan teratur,” jelasnya semasa menerangkan insiden tersebut.

Manakala, beberapa video yang dimuat naik oleh pengguna media sosial menyaksikan kejadian detik-detik ketika berlakunya kebakaran tersebut.

Dalam satu rakaman yang dipaparkan oleh BNO News, dapat dilihat pesawat tersebut dipenuhi dengan asap dan di luar tingkap menunjukkan api yang marak ketika kejadian berlaku.

Situasi panik juga dapat dlihat di mana pesawat dipenuhi dengan jeritan penumpang tidak kira usia susulan asap mula mengaburi pemandangan mereka.

Terdahulu, jurucakap Japan Airlines memaklumkan kesemua 379 penumpang dan anak kapal dalam pesawat Japan Airlines yang terbakar di lapangan berjaya diselamatkan.

Pesawat itu, yang mengendalikan penerbangan 516 dari Lapangan Terbang New Chitose di Wilayah Hokkaido ke Lapangan Terbang Haneda Tokyo, bertembung dengan sebuah pesawat yang dipercayai milik Pengawal Pantai Jepun selepas mendarat di Lapangan Terbang Haneda

Ketika menjelang ambang tahun baharu semalam, negara tersebut dikejutkan dengan bencana gempa bumi berkekuatan 7.5 magnitud yang membunuh puluhan penduduk di pantai barat Jepun.

Sumber: CNN

The post Siasatan Bermula, Penumpang Kongsi Detik-detik Nahas Kebakaran Pesawat Japan Airlines appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*