Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia, Prestasi Perdagangan Tahun 2022 & Disember 2022

Pada tahun 2022, perdagangan Malaysia masih mengekalkan prestasinya yang memberangsangkan dan mencatatkan satu lagi pencapaian terbaik apabila perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan melonjak ke nilai tertinggi yang baharu. Ini merupakan gambaran positif bahawa perdagangan negara sedang berada pada trajektori peningkatan yang didorong oleh faktor permintaan luar yang tinggi serta harga komoditi yang kukuh.

Perdagangan telah melebihi aras RM2 trilion bagi dua tahun berturut-turut dan mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 1994. Eksport bernilai RM1.552 trilion, melebihi unjuran Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bagi tahun 2025 sebanyak 24%, tiga tahun lebih awal dari sasaran yang ditetapkan. Sementara itu, import mencatatkan satu lagi pencapaian baharu apabila buat julung kalinya telah melebihi aras RM1 trilion. Lebihan dagangan yang ke-25 tahun berturut-turut telah direkodkan
sejak 1998.

Bagi pasaran pula, eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun telah mencatatkan nilai tertinggi baharu. Kenaikan eksport yang ketara turut dicatatkan ke pasaran baharu seperti Mesir, Sri Lanka, Mozambique, Papua New Guinea, Togo, Djibouti dan Afghanistan.

Eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) juga mencatatkan nilai tertinggi setakat ini. Sementara itu, eksport ke pasaran di bawah perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang berkuat kuasa tahun lepas telah mencatatkan pertumbuhan dua digit.

Eksport sektor barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian merekodkan nilai tertinggi setakat ini dengan pertumbuhan dua digit. Pertumbuhan eksport yang mampan ini disokong oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG), minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, petroleum mentah serta jentera, kelengkapan dan peralatan, di mana setiap barangan ini telah merekodkan kenaikan melebihi RM10 bilion dengan pertumbuhan dua digit. Kesemua barangan ini juga merekodkan nilai eksport tertinggi kecuali petroleum mentah.

Prestasi perdagangan Malaysia yang kukuh adalah seiring dengan pasaran-pasaran di rantau ini terutamanya Taiwan dan Republik Korea (ROK) berikutan permintaan global yang mantap.

Walaupun berada di dalam landskap global semasa yang mencabar, kami akan terus memperkasakan aktiviti promosi perdagangan antarabangsa serta eksport agar dapat memperkukuhkan lagi daya tahan perniagaan dan seterusnya mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi.

Eksport Melebihi Sasaran Rancangan Malaysia ke-12 bagi Tahun 2025

Perdagangan Malaysia tahun 2022 merekodkan satu lagi pencapaian baharu apabila melepasi aras RM2 trilion bagi dua tahun berturut-turut dan mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 1994. Perdagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit 27.8% kepada RM2.848 trilion berbanding tahun 2021.

Eksport berkembang sebanyak 25% kepada RM1.552 trilion, melebihi unjuran dalam RMKe-12 bagi tahun 2025, tiga tahun lebih awal dari sasaran yang ditetapkan. Import mencatatkan satu lagi pencapaian baharu apabila telah melebihi aras RM1 trilion buat pertama kali, naik 31.3% kepada RM1.297 trilion. Lebihan dagangan meningkat 0.6% kepada RM255.1 bilion, merupakan lebihan dagangan yang ke-25 tahun berturut-turut sejak 1998. Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan nilai yang tertinggi setakat ini.

Pertumbuhan eksport telah dipacu oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, keluaran petroleum, LNG, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, petroleum mentah serta jentera, kelengkapan dan peralatan, di mana setiap barangan ini telah merekodkan kenaikan melebihi RM10 bilion dengan pertumbuhan dua digit. Kesemua barangan ini turut merekodkan nilai eksport tertinggi kecuali petroleum mentah. Sementara itu, eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, AS, EU dan Jepun merekodkan nilai tertinggi baharu setakat ini.

Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama

ASEAN – Eksport ke Kesemua Pasaran Rekod Pertumbuhan Kukuh Dua Digit
Perdagangan dengan ASEAN, rakan dagang yang penting dan strategik Malaysia, berkembang sebanyak 34% kepada RM772 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Perdagangan dengan ASEAN merangkumi 27.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia pada tahun 2022. Eksport ke ASEAN mewakili 29.2% daripada jumlah eksport Malaysia, mencatatkan nilai tertinggi setakat ini sebanyak RM452.9 bilion, meningkat 31.8% berbanding tahun lalu. Ini disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan E&E, keluaran petroleum, petroleum mentah serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

Pecahan eksport ke negara ASEAN:

• Singapura RM232.57 bilion, meningkat 33.7%;
• Thailand RM65.84 bilion, ↑26.2%;
• Indonesia RM56.05 bilion, ↑43.1%;
• Viet Nam RM53.66 bilion, ↑17.6%;
• Filipina RM28.21 bilion, ↑24.6%;
• Brunei RM7.4 bilion, ↑42%;
• Myanmar RM5.91 bilion, ↑118.1%;
• Kemboja RM2.31 bilion, ↑22%; dan
• Lao PDR RM946.5 juta, ↑735.6%.

Eksport ke kesemua pasaran ASEAN telah merekodkan pertumbuhan. Singapura, Thailand dan Indonesia merupakan tiga destinasi eksport utama pada tahun 2022, merangkumi 78.3% daripada jumlah eksport Malaysia ke ASEAN. Eksport ke hampir kesemua negara ASEAN merekodkan nilai tertinggi baharu.

Eksport ke Singapura, pasaran terbesar di ASEAN dengan syer sebanyak 51.4% daripada jumlah eksport ke rantau ini, berkembang sebanyak RM58.59 bilion disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E. Eksport ke Thailand (14.5% syer) naik sebanyak RM13.68 bilion berikutan peningkatan eksport petroleum mentah manakala eksport ke Indonesia (12.4% syer) meningkat sebanyak RM16.87 bilion disumbangkan oleh peningkatan eksport keluaran petroleum.
Import dari ASEAN menokok 37.1% kepada RM319.1 bilion, dengan import utama terdiri daripada barangan E&E, keluaran petroleum serta kimia dan bahan kimia.

Kredit: Bernama

China – Eksport Melepasi Aras RM200 Bilion Buat Pertama Kali

Pada tahun 2022, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia bagi 14 tahun berturut-turut dengan syer sebanyak 17.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia, naik 15.6% kepada RM487.13 bilion berbanding tahun 2021.
Eksport melepasi aras RM200 bilion buat pertama kali, berkembang sebanyak 9.4% kepada RM210.62 bilion dan merupakan nilai tertinggi direkodkan setakat ini. Pertumbuhan ini telah dipacu oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, LNG serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

China juga merupakan sumber import utama Malaysia, merangkumi 21.3% daripada jumlah import, meningkat 20.7% kepada RM276.5 bilion. Barangan import utama adalah barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta kimia dan bahan kimia.

AS – Barangan Perkilangan Sokong Pertumbuhan Eksport

Perdagangan dengan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, AS, berkembang sebanyak 23.3% kepada RM267.59 bilion berbanding tahun sebelumnya dan merangkumi 9.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia pada tahun 2022.
Eksport ke AS mencatatkan nilai tertinggi setakat ini, naik 17.5% kepada RM167.16 bilion.

Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh eksport yang kukuh bagi barangan perkilangan, meningkat 18% kepada RM164.43 bilion dan merangkumi 98.4% jumlah eksport Malaysia ke negara ini. Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum, barangan besi dan keluli serta barangan optik dan saintifik.

Import dari AS menokok sebanyak 34.4% kepada RM100.42 bilion yang terdiri daripada barangan E&E, kelengkapan pengangkutan serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

EU – Eksport Catat Nilai Tertinggi Setakat Ini

Perdagangan dengan EU pada tahun 2022 yang mewakili 7.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia, berkembang 20.1% kepada RM216.53 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Eksport ke EU naik 21.8% kepada RM126.31 bilion, nilai tertinggi direkodkan setakat ini disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan perkilangan yang merangkumi 88.7% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini. Kenaikan eksport telah dicatatkan bagi barangan E&E, keluaran petroleum, barangan perkilangan logam, barangan besi dan keluli serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.

Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 91.8% daripada jumlah eksport Malaysia ke EU adalah:

• Belanda RM42.08 bilion, meningkat 35%;
• Jerman RM29.98 bilion, ↑5.2%;
• Belgium RM9.00 bilion, ↑40.5%;
• Perancis RM8.84 bilion, ↑71.4%;
• Itali RM8.43 bilion, ↑17.7%;
• Sepanyol RM5.74 bilion, ↑22%;
• Poland RM3.77 bilion, ↑22.5%;
• Republik Czech RM3.59 bilion, ↑9%;
• Hungary RM2.49 bilion, ↑10.5%; dan
• Sweden RM2.06 bilion, ↑6.5%.

Eksport ke kesemua 10 pasaran utama EU merekodkan kenaikan khasnya ke Belanda yang meningkat RM10.91 bilion berikutan permintaan yang tinggi bagi barangan E&E, Jerman (↑RM1.48 bilion, barangan E&E) dan Belgium (↑RM2.59 bilion, barangan besi dan keluli).

Import dari EU meningkat 17.7% kepada RM90.22 bilion. Barangan import utama adalah barangan E&E, kimia dan bahan kimia serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

Jepun – Kekal Pertumbuhan Dua Digit Eksport bagi 2 Tahun Berturut-turut

Pada tahun 2022, Jepun kekal sebagai rakan dagang Malaysia keempat terbesar bagi lapan tahun berturut-turut sejak 2015. Perdagangan dengan Jepun yang mewakili 6.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia, berkembang sebanyak 21.2% kepada RM181.51 bilion berbanding tahun lepas.

Eksport mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi dua tahun berturut-turut, naik 29.6% kepada RM98.24 bilion dan merupakan eksport tertinggi direkodkan setakat ini. Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh eksport yang kukuh bagi LNG, petroleum mentah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan E&E.

Import dari Jepun meningkat 12.6% kepada RM83.27 bilion. Barangan import utama adalah barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan logam.

Pasaran FTA – Eksport Catat Nilai Tertinggi

Perdagangan dengan rakan dagang FTA pada tahun 2022 merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 26.4% kepada RM1.916 trilion berbanding tahun lepas, merangkumi 67.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Eksport ke rakan dagang FTA merekodkan nilai tertinggi sebanyak RM1.069 trilion, meningkat 25.7% dan menyerap 68.9% daripada jumlah eksport Malaysia. Barangan eksport utamanya adalah barangan E&E, keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia, LNG serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit yang menyumbang 65.5% kepada jumlah eksport Malaysia ke pasaran FTA. Eksport ke kesemua pasaran FTA telah merekodkan peningkatan kecuali Kanada, Peru dan Chile.

Peningkatan eksport telah direkodkan ke Hong Kong SAR, sebanyak 24.6% kepada RM95.6 bilion dan Mexico (↑44% kepada RM16.7 bilion), disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E. Sementara itu, eksport ke Turkiye berkembang 22.9% kepada RM17.39 bilion dan Pakistan (↑0.3% kepada RM6.02 bilion), disokong oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Eksport ke Australia meningkat 41.5% kepada RM48.8 bilion dan New Zealand (↑57.6% kepada RM6.98 bilion), disokong oleh pertambahan eksport keluaran petroleum. Sementara itu, eksport ke ROK naik 43.3% kepada RM54.78 bilion, dipacu oleh peningkatan eksport LNG dan India (↑21% kepada RM54.69 bilion, petroleum mentah).

Import dari rakan dagang FTA meningkat sebanyak 27.3% kepada RM847.06 bilion dengan barangan import utamanya terdiri daripada barangan E&E, keluaran petroleum serta kimia dan bahan kimia.

Pasaran Baharu Eksport

Pada tahun 2022, pertumbuhan eksport ketara telah direkodkan ke pasaran baharu seperti Mesir, Sri Lanka, Mozambique, Papua New Guinea, Togo, Djibouti dan Afghanistan.

Eksport ke Mesir berkembang 25.8% kepada RM3.61 bilion, Djibouti (↑118.9% kepada RM1.65 bilion) dan Afghanistan (↑76.1% kepada RM1.57 bilion), berikutan eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Sementara itu, eksport ke Sri Lanka naik 14.1% kepada RM3.45 bilion, Mozambique (↑32.6% kepada RM2.65 bilion), Papua New Guinea (↑59% kepada RM2.25 bilion) dan Togo (↑69.6% kepada RM2.32 bilion), disokong oleh kenaikan eksport keluaran petroleum.

Prestasi Eksport Sektor Utama

Pada tahun 2022, eksport barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian merekodkan jumlah tertinggi dengan pertumbuhan dua digit. Kenaikan eksport telah dicatatkan bagi kesemua barangan kecuali keluaran getah serta baja mentah dan galian mentah.

Barangan E&E Dominasi Eksport Barangan Perkilangan

Pada tahun 2022, eksport barangan perkilangan meningkat 22.3% kepada RM1.307 trilion berbanding tahun 2021, merangkumi 84.2% daripada jumlah eksport Malaysia. Barangan E&E memegang syer terbesar sebanyak 38.2% daripada jumlah eksport, berkembang 30.2% kepada RM593.49 bilion. Peningkatan ini disumbangkan oleh permintaan yang kukuh bagi semikonduktor berikutan peningkatan kitaran teknologi global serta pendigitalan perniagaan.

Barangan E&E yang merekodkan peningkatan eksport yang ketara pada tahun 2022 adalah:

• Litar bersepadu elektronik, meningkat 32.7% kepada RM301.65 bilion;
• Alat ganti bagi litar bersepadu elektronik, meningkat 119.9% kepada RM43.58 bilion;
• Kelengkapan penghantaran atau penerimaan suara, imej dan data, ↑47% kepada RM31.19 bilion;
• Peranti semikonduktor fotosensitif, ↑29% kepada RM26.11 bilion; dan • Komputer, ↑32.6% kepada RM20.56 bilion.

Pertumbuhan eksport bagi barangan E&E telah direkodkan ke AS, Singapura, China dan Hong Kong SAR.

Barangan perkilangan lain yang turut merekodkan pertumbuhan eksport yang ketara pada tahun 2022 adalah:

• Keluaran petroleum, meningkat 69.4% kepada RM163 bilion;
• Jentera, kelengkapan dan peralatan, ↑21.1% kepada RM60.45 bilion; • Kimia dan bahan kimia; ↑14% kepada RM80.61 bilion;
• Barangan optik dan saintifik, ↑20.8% kepada RM56.69 bilion;
• Barangan perkilangan berasaskan minyak sawit, ↑26.5% kepada RM41.36 bilion; dan
• Barangan besi dan keluli, ↑13.4% kepada RM33.35 bilion.

Keluaran Pertanian – Kesemua Barangan Catat Peningkatan Eksport

Pada tahun 2022, eksport keluaran pertanian bernilai RM120.94 bilion, berkembang 23.3% berbanding tahun sebelumnya dan merangkumi 7.8% syer daripada jumlah eksport. Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit yang naik sebanyak 27.3% kepada RM96.53 bilion. Kesemua barangan keluaran pertanian merekodkan peningkatan eksport.

Hasil Galian – LNG dan Petroleum Mentah Pacu Pertumbuhan Eksport

Pada tahun 2022, eksport hasil galian yang merangkumi 7.5% syer daripada jumlah eksport melonjak 67.7% kepada RM117.01 bilion berbanding tahun 2021, disokong oleh eksport yang kukuh bagi LNG yang melonjak 78% kepada RM67.99 bilion dan petroleum mentah (↑71.7% kepada RM31.55 bilion).

Prestasi Import Barangan Pengantara Penyumbang Syer Terbesar Import

Pada tahun 2022, jumlah import Malaysia naik 31.3% kepada RM1.297 trilion berbanding tahun 2021. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang menyumbang 71.7% kepada jumlah keseluruhan import negara pada tahun 2022 adalah seperti berikut:

• Barangan pengantara, bernilai RM705.74 bilion atau 54.4% daripada jumlah import, meningkat 29.3%, berikutan pertambahan import bahan api dan pelincir utama;
• Barangan modal, bernilai RM120.32 bilion atau 9.3% daripada jumlah import, berkembang 15.9%, disumbangkan oleh import yang kukuh bagi barangan modal bukan kenderaan; dan
• Barangan penggunaan, berjumlah RM104.13 bilion atau 8% daripada jumlah import, naik 24.1%, hasil kenaikan import makanan dan minuman diproses khusus untuk penggunaan isirumah.

China kekal sebagai sumber import terbesar sejak 2011, diikuti oleh Singapura, Taiwan, AS dan Jepun. Kesemua pasaran ini menyumbang 54.1% kepada jumlah import. Import dari ASEAN bernilai RM319.1 bilion atau 24.6% syer daripada jumlah import Malaysia manakala import dari EU bernilai RM90.22 bilion dengan syer sebanyak 7%.

Prestasi Perdagangan Bagi Bulan Disember 2022

Nilai Perdagangan, Eksport dan Import Tertinggi bagi Disember
Perdagangan Malaysia kekal kukuh pada Disember 2022 dengan perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai bulanan tertinggi bagi bulan Disember. Perdagangan meningkat sebanyak 8.6% kepada RM236.02 bilion berbanding Disember tahun 2021. Eksport naik 6% kepada RM131.89 bilion dan import berkembang 12% kepada RM104.13 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM27.76 bilion, menyusut 11.8%.

Pertumbuhan eksport ini disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum, barangan E&E dan LNG. Sementara itu, eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, EU dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit.
Berbanding November 2022, eksport dan lebihan dagangan berkembang sebanyak 1.7% dan 27.6%, manakala perdagangan dan import masing-masing mengurang 0.7% dan 3.5%.

Prestasi Eksport Sektor Utama

Eksport Barangan Perkilangan Disokong oleh Keluaran Petroleum dan Barangan E&E

Pada Disember 2022, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 83.7% daripada jumlah eksport berkembang sebanyak 4.6% tahun ke tahun kepada RM110.39 bilion, disumbangkan oleh keluaran petroleum dan barangan E&E yang masing-masing merekodkan kenaikan eksport melebihi RM1 bilion.

Eksport keluaran pertanian (8.4% syer) menyusut secara marginal sebanyak 0.2% kepada RM11.04 bilion berbanding Disember tahun 2021 berikutan penurunan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Eksport hasil galian (7.4% syer) meningkat 31.6% tahun ke tahun kepada RM9.74 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-21 bulan berturut-turut disokong oleh peningkatan eksport LNG.

Perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian masing-masing naik sebanyak 0.6% dan 24.5% manakala eksport hasil galian berkurang sebanyak 6.2%.

Prestasi Import

Import Rekod Pertumbuhan Dua Digit Sejak Februari 2021

Import pada Disember 2022 merekodkan pertumbuhan dua digit yang ke-23 bulan berturut-turut, naik 12% kepada RM104.13 bilion berbanding bulan yang sama tahun lepas. Import barangan pengantara berkembang sebanyak 7.1% kepada RM54.8 bilion, barangan modal (↓2.2% kepada RM10 bilion) dan barangan penggunaan (↑17.1% kepada RM9.34 bilion).

Nilai Suku Keempat Tertinggi bagi Perdagangan, Eksport dan Import

Jumlah perdagangan pada suku keempat (S4) tahun 2022 meningkat 14.8% kepada RM718.71 bilion, berbanding S4 tahun 2021. Eksport naik 11.8% kepada RM393.14 bilion dan import berkembang 18.7% kepada RM325.56 bilion. Ini merupakan nilai suku keempat yang tertinggi direkodkan bagi perdagangan, eksport dan import setakat ini. Sementara itu, lebihan dagangan menyusut sebanyak 12.6% kepada RM67.58 bilion.

Berbanding suku ketiga (S3) tahun 2022, lebihan dagangan meningkat 4.8% manakala perdagangan, eksport dan import masing-masing berkurang sebanyak 7.2%, 6.3% dan 8.3%.

PROSPEK PERDAGANGAN TAHUN 2023

Prestasi perdagangan Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang agak perlahan pada tahun 2023. Ini sejajar dengan unjuran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di mana jumlah perdagangan global dijangka berkembang sebanyak 1%.

Pada tahun 2023, perdagangan Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 1.3% manakala eksport dan import masing-masing dianggarkan meningkat sebanyak 2.2% dan 0.2% menurut Tinjauan Ekonomi 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF). Ini adalah berikutan daripada ketidaktentuan global yang disebabkan oleh tekanan inflasi, konflik geopolitik yang berterusan, kemampuan pengeksport dalam memenuhi tuntutan pasaran bagi penggunaan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), gangguan rantaian bekalan dunia serta ketidakstabilan harga komoditi utama. Namun begitu, permintaan berterusan bagi barangan perkilangan khasnya barangan E&E yang didorong oleh kemajuan teknologi global dijangka akan terus menyokong perdagangan negara.

# Nota:

• Perlu diambil perhatian bahawa dari segi konsep, angka eksport dan import dalam perangkaan perdagangan luar negeri adalah berbeza daripada apa yang terdapat dalam akaun barangan untuk perhitungan imbangan pembayaran. Penyusunan perangkaan perdagangan antarabangsa biasanya dibuat berdasarkan rekod kastam yang mencerminkan pergerakan barangan fizikal dari satu sempadan ke sempadan yang lain, dan mengikut garis panduan antarabangsa mengenai konsep-konsep dan definisi-definisi contohnya International Merchandise Trade Statistics: Concepts and Definitions 2010 (IMTS 2010) yang berbeza dengan prinsip-prinsip Sistem Akaun Negara (SNA) dan perhitungan Imbangan Pembayaran (BOP). Dalam SNA, barangan didefinisikan sebagai “barangan fizikal yang ada permintaan dan di mana hak milik boleh dikenal pasti serta hak miliknya boleh dipindahkan dari satu institusi ke institusi lain melalui pasaran”.

• Ini adalah keluaran awalan, keterangan terperinci akan diterbitkan dalam laporan “PERANGKAAN PERDAGANGAN LUAR NEGERI BULANAN” yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, untuk kegunaan umum pada Jumaat, 27 Januari 2023 dan boleh dimuat turun melalui eStatistik di portal Jabatan Perangkaan Malaysia (https://newss.statistics.gov.my/newss-portalx/ep/epLogin.seam).

• Siaran media ini boleh diakses daripada portal Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (http://www.miti.gov.my) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (http://www.matrade.gov.my).

• Data bulan Disember 2022 adalah provisional dan tertakluk kepada semakan/pindaan dalam keluaran berikutnya.

• Mulai bulan rujukan April 2018, pemilihan kod untuk eksport dan import bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit telah dikaji semula serta dikemaskini untuk lebih mewakili barangan tersebut, dan ini telah menyebabkan sedikit perubahan pada data.

• 22 rakan dagang FTA terdiri daripada China, Singapura, Jepun, Thailand, Republik Korea, Indonesia, India, Australia, Viet Nam, Filipina, New Zealand, Turkiye, Pakistan, Myanmar, Kemboja, Brunei, Chile, Lao PDR, Hong Kong SAR, Kanada, Mexico dan Peru.

• Mulai bulan rujukan Februari 2020, Kesatuan Eropah (EU) adalah tidak termasuk United Kingdom.

• Bermula bulan rujukan Jun 2022, Harmonised Commodity description and Coding system 2022 (HS2022) yang juga dikenali sebagai Perintah Duti Kastam (PDK2022) telah digunakan dalam penyusunan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri (barangan). Klasifikasi ini menggantikan HS2017 yang digunapakai daripada April 2017 sehingga Mei 2022. Walau bagaimanapun, pengkelasan mengikut Standard International Trade Classification (SITC) Rev.4 masih digunakan dengan penyelarasan bersesuaian.

• Jumlah bagi pengiraan tidak semestinya terhasil disebabkan pembundaran.

The post Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia, Prestasi Perdagangan Tahun 2022 & Disember 2022 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*