PERKESO Santuni Anak-Anak Yatim, Ibu Tunggal Dan Penerima Faedah PERKESO Dan Pelancaran Insentif Kerjaya Madani 2023

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini meraikan 90 anak yatim, 40 ibu tunggal dan 11 orang penerima faedah PERKESO dari sekitar Lembah Klang dalam Majlis Iftar PERKESO 2023 yang dianjurkan sempena Bulan Ramadan 1444 Hijrah.

Dalam majlis yang sederhana tetapi meriah, Yang Berhormat Tuan Mustapha Sakmud, Timbalan Sumber Manusia, mewakili Yang Berhormat Tuan V.Sivakumar, Menteri Sumber Manusia, telah menyerahkan sumbangan kepada tetamu yang diraikan seperti hamper, duit raya, baju raya dan juga bayaran faedah PERKESO.

Bayaran faedah berjumlah lebih RM174,000 telah disampaikan kepada 11 orang penerima faedah, di mana lima (5) orang menerima faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), lima (5) lagi faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan seorang menerima faedah Skim Keselamtan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Majlis Iftar PERKESO merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dianjurkan setiap tahun bagi mengeratkan jalinan kemesraan PERKESO dengan para penerima faedah, terutamanya mereka yang telah kehilangan orang tersayang.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang fungsi dan peranan PERKESO sebagai penyedia perlindungan keselamatan sosial kepada pelbagai golongan di negara ini termasuk suri rumah.

Turut hadir mengiringi Yang Berhormat Tuan Mustapha Sakmud di majlis yang diadakan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur ini adalah Dato’ Sri Subahan Kamal, Pengerusi Lembaga PERKESO dan Dato’ Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO.

Dalam Teks Ucapan YB Tuan Sivakumar, Menteri Sumber Manusia, yang dibacakan oleh Timbalannya, Tuan Mustapha Sakmud, V. Sivakumar menyatakan kesyukurannya kerana berpeluang menyantuni para penerima faedah PERKESO termasuk ibu-ibu tunggal, anak anak yatim dan yatim piatu di majlis tersebut.

“Selain daripada mengeratkan hubungan dengan masyarakat terutamanya dari golongan mudah terjejas, program Iftar yang dianjurkan PERKESO ini juga dapat meringankan bebanan mereka bagi persiapan Hari Raya yang akan tiba tidak lama lagi,” kata beliau dalam Ucaptamanya.

PERKESO berharap Majlis Iftar ini dan sumbangan yang disampaikan dapat menyuntik kegembiraan kepada para penerima faedah yang diraikan dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang lebih kurang seminggu lagi.

Turut berlangsung pada majlis tersebut adalah pelancaran Insentif Kerjaya Madani 2023. Pelancaran simbolik ini membuka tirai kepada pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Belanjawan 2023 yang telah diamanahkan kepada Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO. Dengan peruntukan lebih RM313 juta, PERKESO telah dipertanggungjawabkan untuk merealisasi 10 inisiatif bagi pengukuhan perlindungan keselamatan sosial dan pemerkasaan pasaran buruh tempatan.

Seiring dengan peranan PERKESO sebagai Penyedia Perkhidmatan Pekerjaan Negara, Insentif Kerjaya Madani menumpukan kepada usaha meningkatkan peluang-peluang pekerjaan dan penempatan pekerjaan untuk pelbagai kumpulan sasar menerusi Program Daya Kerjaya, Daya Kerjaya TVET dan Program Bina Kerjaya.

Di bawah program Daya Kerjaya, insentif kewangan disediakan untuk majikan bagi pengambilan pekerja baharu mulai 1 Januari 2023 dari kalangan belia atau individu yang lama menganggur dan golongan rentan seperti orang asli, wanita, orang kurang upaya (OKU), miskin tegar, individu diparol serta bekas banduan dan graduan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), ataupun lepasan sekolah yang menganggur lebih dari 30 hari.

Majikan boleh membuat permohonan mulai 1 April 2023. Program ini menyasarkan 58,000 pengambilan pekerja oleh majikan yang akan menerima insentif sebanyak RM600 sebulan untuk tempoh 3 bulan bagi setiap pekerja yang digajikan.

Program Daya Kerjaya TVET atau Program Transisi Pekerjaan pula menyasarkan 17,000 permohonan dalam kalangan perantis TVET dan lepasan sekolah yang menganggur sekurang-kurangnya 30 hari untuk menjalani Program Peningkatan Kemahiran dengan pembiayaan bayaran latihan sehingga RM4,000.

Manakala Program Bina Kerjaya bertujuan meningkatkan potensi individu bekerja sendiri dalam sektor informal untuk memperoleh pekerjaan formal.

Gambar hiasan. (Kredit: Bernama)

Ini akan dilaksanakan melalui pengajian RPEL (Recognition Prior Experiential Learning), micro-credential (kursus jangka pendek) atau pensijilan profesional atau kompetensi yang diiktiraf institusi pengajian tinggi awam dan swasta / Jabatan Pembangunan Kemahiran / Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) / badan ikhtisas / pusat bertauliah yang diiktiraf oleh badan peneraju industri seperti ACCA (Association of Chartered Certified Accountants), BOE (Board of Engineers) dan MIA (Malaysian Institute of Accountants).

Kadar bayaran latihan yang dibiayai di bawah program ini adalah sehingga RM4,000 manakala elaun sebanyak RM300 sebulan disediakan bagi tempoh maksimum 3 bulan. Sebanyak 30,000 permohonan disasarkan untuk program ini.

Pemerkasaan pasaran buruh di bawah Belanjawan 2023 turut melibatkan Elaun Mobiliti dan Pembangunan Pusat Satelit MYFutureJobs di UTC Seluruh Malaysia yang akan dilaksanakan PERKESO secara berperingkat.

Sehingga hari ini, sebanyak 292 buah Pusat Satelit MYFutureJobs di seluruh negara telah dibangunkan bagi memperluaskan akses peluang pekerjaan kepada para pencari kerja. Daripada jumlah tersebut, 13 buah pusat satelit ditempatkan di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Gambar hiasan. (Kredit: Bernama)

Inisiatif perlindungan keselamatan sosial Belanjawan 2023 yang akan dijalankan PERKESO meliputi Padanan Caruman Pekerja Sendiri, Geran Caruman Suri Rumah Miskin untuk Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah, Program Saringan Kesihatan PERKESO Pasca-COVID 19, Geran Penjagaan Kanak-kanak bagi Wanita Kembali Bekerja, dan Program LINDUNG+.

PERKESO komited melaksanakan Insentif Kerjaya Madani dan semua inisiatif lain di bawah Belanjawan 2023 demi pemerkasaan pasaran buruh negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia, yang seterusnya akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan.

Untuk maklumat lanjut berkaitan PERKESO, sila rujuk laman sesawang rasmi PERKESO www.perkeso.gov.my atau hubungi normbor Careline PERKESO 1-300-22-8000 atau e-mel ke perkeso@perkeso.gov.my. Maklumat lanjut mengenai Insentif Kerjaya Madani serta inisiatif lain di bawah Belanjawan 2023 akan dikemaskini dari semasa ke semasa menerusi laman web rasmi PERKESO.

The post PERKESO Santuni Anak-Anak Yatim, Ibu Tunggal Dan Penerima Faedah PERKESO Dan Pelancaran Insentif Kerjaya Madani 2023 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*