Permohonan Dana Bagi Program Pembangunan Belia Dan Sukan Kini Dibuka

Kuala Lumpur, 19 Januari – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa komited memperkasakan pembangunan belia dan sukan terutamanya menerusi penganjuran program dan aktiviti pembangunan belia dan sukan.

Usaha ini memerlukan penglibatan semua pemegang taruh berkaitan seperti badan sukan, pertubuhan belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan entiti swasta/ korporat secara inklusif.

Komitmen ini turut merangkumi penyertaan atlet yang mewakili Malaysia ke kejohanan-kejohanan sukan bertaraf antarabangsa yang akan memberikan impak kepada negara.

Sehubungan itu, KBS ingin menyediakan ekosistem yang boleh mendayaupayakan penglibatan pemegang taruh. Justeru, KBS pada tahun 2024 telah menyediakan beberapa dana, untuk diakses oleh pemegang taruh demi kemajuan dan pembangunan belia dan sukan, seperti berikut:

Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN)

Geran bagi menganjurkan program dan aktiviti berkaitan sukan di peringkat kebangsan dan antarabangsa, termasuk penyertaan atlet (termasuk independent athlete) dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.

Geran Padanan Sukan (GPS)

Geran secara padanan (maksima 50% atau tidak melebihi RM1 juta) bagi menganjurkan program dan aktiviti pembangunan sukan termasuklah penganjuran acara sukan di bawah kategori prestasi tinggi, spesifikasi tinggi dan berimpak tinggi di peringat negeri, kebangsaan dan antarabangsa yang dilaksanakan di dalam negara.

Dana Sukan Komuniti (DSK)

Geran bagi merakyatkan dan membudayakan sukan ke arah menjadikan Malaysia negara bersukan serta menyokong gaya hidup cergas dan sihat. DSK adalah bagi menganjurkan program dan aktiviti sukan akar umbi merangkumi peringkat negeri, daerah, parlimen, DUN, kampung, taman perumahan dan seumpamanya.

Dana Bantuan (Pembangunan Belia) KBS

Sebagai tambahan kepada RM20 juta yang diperuntukkan kepada program Rakan Muda di bawah Belanjawan 2024, Dana Bantuan (Pembangunan Belia) KBS disediakan khas untuk memacu pelaksanaan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030) melalui penglibatan semua pemegang taruh.

KBS telah menyediakan bantuan pembiayaan kewangan bagi menganjurkan program dan aktiviti pembangunan belia di peringkat antarabangsa, kebangsaan, negeri dan daerah.

Penyediaan geran/ dana ini juga akan memperkasakan industri sukan melalui penganjuran program-program sukan dan membantu memulihkan ekonomi sektor ini yang telah terkesan akibat wabak COVID-19.

Permohonan bagi dana-dana di atas adalah tertakluk kepada terma dan syarat. Penganjuran aktiviti berkaitan pembangunan sukan adalah berdasarkan kepada jenis sukan yang tersenarai di dalam Perintah Pembangunan Sukan (Pindaan Jadual Pertama) 2023, Akta Pembangunan Sukan 1997 yang boleh dimuat turun dari laman web KBS.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang KBS bagi memohon secara dalam talian dan mendapatkan maklumat dengan lebih terperinci.

Diharapkan inisiatif ini menyemarakkan lagi hasrat memperkasakan pembangunan belia dan sukan di Malaysia selaras dengan aspirasi digariskan di bawah MPBM 2030 dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030) seiring dengan kerangka Malaysia MADANI.

The post Permohonan Dana Bagi Program Pembangunan Belia Dan Sukan Kini Dibuka appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*