Piala Dunia Hoki: Faizal senjata utama Malaysia

ROURKELA – Penyerang prolifik skuad hoki negara, Faizal Saari menjadi sandaran utama untuk merobek gawang Belanda menjelang aksi pertama Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023 di Stadium Hoki Birsa Munda petang ini.

Jika berjaya meledak gol, ia akan menjadi kenangan terindah buat Faizal yang menyambut hari lahir ke-32 bersama rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan di perkampungan pasukan semalam.

Ketua jurulatih Malaysia, A. Arul Selvaraj sebelum ini mengakui, informasi dan maklumat yang dimiliki Faizal amat penting kerana dia pernah mewakili ZSV Schaerweijde dalam liga utama Belanda, Hoofdklasse sejak Ogos lalu.

“Barisan kejurulatihan sudah duduk bersama Faizal untuk mendapatkan maklumat dan pendapatnya kerana dia pernah bermain dengan ramai pemain Belanda di liga Hoofdklasse.

“Dia berkongsi pandangannya terhadap beebrapa pemain individu Belanda kerana 90 peratus daripada skuad Belanda beraksi di Hoofdklasse. Ia banyak membantu kami,” katanya.

Bukan sahaja Faizal tetapi skuad negara turut mengharapkan sentuhan penyudah daripada jentera serangan yang lain seperti Muhammad Shahril Saabah, Norsyafiq Sumantri, Muhamad Ramadan Rosli dan Shello Silverius.

Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah memandangkan Belanda adalah kuasa hoki dunia dan pernah menewaskan Malaysian Tigers dengan rekod jaringan besar dalam tiga pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan.

Juara dunia tiga kali itu turut memegang status selaku naib juara edisi 2018 selepas tewas 2-3 menerusi penentuan shoot-out setelah terikat tanpa jaringan dengan Belgium dalam perlawanan akhir. – KOSMO! ONLINE

The post Piala Dunia Hoki: Faizal senjata utama Malaysia appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*