Piala Malaysia: Lebih 4,000 Penyokong JDT Ke Stadium Nasional Bukit Jalil

Piala Malaysia: Lebih 4,000 Penyokong JDT Ke Stadium Nasional Bukit Jalil

JOHOR BAHRU, 8 Dis (Bernama) — Kira-kira 109 bas yang dianggarkan membawa lebih 4,000 penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dari negeri ini berlepas ke Stadium Nasional Bukit Jalil pagi ini, untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC (TFC), malam ini.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak JDT Mohd Fadzli Sapie berkata dianggarkan 600  penyokong dari Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin di sini, berlepas 8 pagi tadi.

“Selain di Stadium Larkin (Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos) terdapat bas-bas dari tempat lain yang akan sama-sama ke SNBJ untuk memberikan sokongan nanti.

“Kami telah sampaikan taklimat kepada penyokong terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang masalah di sana nanti dan untuk final kali ini kami yakin JDT akan menang 3-0,” katanya kepada pemberita di pekarangan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, hari ini.

Sementara itu, rata-rata penyokong tegar JDT yang ditemui yakin pasukan kesayangan mereka akan sekali lagi membawa pulang Piala Malaysia ke selatan tanah air tahun ini.

BACA JUGA: Piala Malaysia: TMJ Tinjau Kualiti Padang Stadium Nasional 

Kamariah A. Kadir, 48, yang tiba seawal 5.45 pagi berkata dia menjangkakan skuad Harimau Selatan mampu menang sekurang-kurangnya 2-1.

Gambar: Bernama

“Saya sentiasa bersemangat dan saban tahun saya dan rakan-rakan akan bersama-sama ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan JDT,” katanya.

Seorang lagi penyokong JDT, Mohd Nordin Md Don , 42, berharap kemenangan akan berpihak kepada skuad bimbingan Esteban Solari itu memandangkan rekod baik pasukan sepanjang musim ini.

“Semuanya demi JDT .. kali ini saya lagi bersemangat kerana saya bawa dua anak lelaki berusia lapan dan lima tahun untuk bersama-sama merasai pengalaman dan sekali gus meraikan kemenangan pasukan bola terhebat di negara ini,” katanya yang merupakan seorang pekerja swasta.

JDT, juara tiga kali Piala Malaysia dalam misi mempertahankan kejuaraan sekali gus menambah koleksi piala selepas muncul juara Liga Super dan Piala FA musim ini, manakala TFC memburu kemenangan kedua Piala Malaysia selepas melakukannya pada 2001.

Sumber: BERNAMA

The post Piala Malaysia: Lebih 4,000 Penyokong JDT Ke Stadium Nasional Bukit Jalil appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*