Remaja Autisme Ditemui Meninggal Dunia Dalam Rumah

remaja autisme meninggal

Remaja Autisme Ditemui Meninggal Dunia Dalam Rumah

KUANTAN — Mayat seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU), 15, yang dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari lalu ditemui di dalam sebuah bilik di rumah keluarganya di Kampung Padang Tenggala, Temerloh pada Selasa lalu, lapor Sinar Harian.

Difahamkan, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring oleh abangnya yang berumur 17 tahun sekitar jam 10.30 malam.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, abang mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian tersebut kepada neneknya sebelum warga emas itu menghubungi anak saudaranya (pengadu) untuk datang melihat keadaan di rumah itu.

Tambah Yahaya, sewaktu pengadu yang berusia 60 tahun tiba di rumah berkenaan, dia terhidu bau busuk sebelum membuat laporan di balai polis.

“Ekoran laporan itu, pemeriksaan telah dilakukan membawa kepada penemuan mayat remaja berkenaan.

“Siasatan mendapati, mangsa merupakan OKU autisme dan dikurung dalam sebuah bilik tanpa dikunci oleh ibunya kerana berkelakuan agresif.

“Mangsa tinggal bersama ibu berusia 44 tahun, abang dan seorang adik lelaki di rumah itu selepas kematian bapa pada Mei lalu,” jelasnya.

BACA JUGA: Zayn Rayyan Dipercayai Dibunuh Di Lokasi Lain Sebelum Mayat Diletakkan Di Anak Sungai

Jelasnya lagi, selepas kematian ketua keluarga, kehidupan mereka dipercayai menjadi tidak terurus.

“Difahamkan ibu mereka mengalami tekanan perasaan sejak kematian suami namun tidak dirujuk kepada pihak hospital untuk mendapatkan rawatan,” kata Yahaya lagi.

Mayat remaja terbabit telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH) Temerloh bagi proses bedah siasat.

“Setakat ini kes disiasat sebagai mati mengejut, bagaimanapun pihak polis menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa untuk tindakan lanjut,” maklumnya.

Kanak-Kanak Autisme Ditemui Meninggal Dunia

Dua hari lalu, mayat seorang kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang dilaporkan hilang di kawasan kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada Selasa lalu ditemui meninggal dunia.

Menurut Sinar Harian, mayat mangsa yang berusia enam tahun itu ditemui berhampiran anak sungai pada jam 10 malam.

Difahamkan, mayat mangsa telah ditemui oleh sekumpulan penduduk yang dikatakan turun membantu pasukan penyelamat dalam operasi mencarinya.

Sumber: Sinar Harian

The post Remaja Autisme Ditemui Meninggal Dunia Dalam Rumah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*