PMX Jemput Ahmad Dhani Sambut Maulidur Rasul Bersama

pmx ahmad dhani

PMX Jemput Ahmad Dhani Sambut Maulidur Rasul Bersama

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini akan melakukan pertemuan dengan vokalis kumpulan terkenal Indonesia, Ahmad Dhani di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Memetik Astro Gempak, pertemuan pada kali ini akan menjadikan perjumpaan kali kedua buat Dhani, 51, bersama Anwar.

Pada awal bulan ini, Dhani telah berpeluang bertemu Anwar sewaktu kunjungan beliau sempena Temu Anwar yang berlangsung di Jakarta.

“Esok (Jumaat) sekitar pukul 5 petang Dhani akan bertemu PM Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri kerana ada sambutan Maulidur Rasul.

“Insya-Allah, PM juga akan datang ke konsert DEWA19 : A Night at The Orchestra – Chapter 5 (Live in Malaysia) pada sebelah malam.

“Sebenarnya, PM mahu jumpa Dhani dan Dhani juga mahu jumpa Anwar. Memang mereka sudah berjumpa di Jakarta tapi selaku tuan rumah kali ini, beliau mahu bertemu di sini,” ujar penganjur konsert, Iman Tang dari Icon Entertainment sewaktu sidang media yang diadakan di Axiata Arena, malam tadi.

Sewaktu ditanya kepada Dhani berkenaan harapan beliau terhadap pimpinan Anwar, beliau mengharapkan agar Anwar mampu membuat perubahan yang besar.

“Harapan saya Anwar mampu membuat sebuah perubahan besar dan mewujudkan harapan daripada rakyat Malaysia,” katanya.

Malah beliau juga sempat berseloroh bahawa mereka mempunyai persamaan pernah dipenjara, jadi beliau berharap Anwar mampu mencipta sejarahnya tersendiri.

“Kerana PM Anwar pernah masuk penjara, saya juga pernah (penjara). Bezanya hanya beliau 11 tahun dan saya 11 bulan. Dan saya berharap PM Anwar mampu menjadi Perdana Menteri yang paling bagus dalam sejarah di Malaysia,” katanya. 

Dhani bersama anggota Dewa 19 yang lain berada di Malaysia bersempena dengan konsert DEWA19: A Night at The Orchestra Chapter 5 (Live in Malaysia). Konsert itu dijadualkan akan berlangsung pada malam ini.

Konsert format orkestra ini adalah yang pertama dibawakan oleh Dewa 19 bersama 54 pemuzik orkestra penuh dari Malaysia.

Pada konsert malam ini, ia bakal dipimpin oleh konduktor muzik dari Indonesia, Guntur Nur Puspito.

Selain Dewa 19, konsert itu turut akan dimeriahkan dengan persembahan penyanyi undangan daripada Malaysia seperti Shila Amzah, Amir Masdi dan Jaclyn Victor.

Konsert itu dijangka akan dihidangkan dengan 34 buah lagu yang disifatkan sesuai dengan alunan orkestra.

Sumber: Astro Gempak

The post PMX Jemput Ahmad Dhani Sambut Maulidur Rasul Bersama appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*