Polis Kenal Pasti 25 Individu Terlibat Dalam Perhimpunan Di Ibu Kota

25 individu ibu kota

Polis Kenal Pasti 25 Individu Terlibat Dalam Perhimpunan Di Ibu Kota

ALOR SETAR, 17 Sept (Bernama)Polis mengenal pasti 25 individu yang dipercayai terlibat dalam perhimpunan jalanan “Himpunan Aman Selamatkan Malaysia” yang diadakan di Kuala Lumpur semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata setakat ini, 22 orang sudah dihubungi polis pagi tadi dan enam daripadanya akan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Lima orang termasuk seorang pimpinan sebuah parti politik akan hadir ke IPD Dang Wangi esok, seorang lagi pada 19 Sept (Selasa) manakala yang lain akan dipanggil kemudian … ada seorang YB (Yang Berhormat) (yang terlibat dalam himpunan itu) setuju untuk beri keterangan esok,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Ayob Khan berkata perhimpunan itu jelas tidak mematuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 termasuk penganjur tidak memberi notis lima hari sebelum perhimpunan itu berlangsung, selain mengadakannya di tempat larangan iaitu masjid dan membawa kanak-kanak menyertai perhimpunan itu.

BACA: Polis Tolak Permohonan Penganjur Perhimpunan Sabtu Ini

Beliau berkata ada pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis itu kerana mendakwa di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan menyatakan hak asasi untuk berhimpun, namun perlu juga dilihat Artikel 10 (2) iaitu setiap kebebasan untuk berhimpun atau berucap mempunyai had atau batas yang perlu dipatuhi.

“ … kita perlu mengimbangi antara hak asasi dengan keselamatan dan ketenteraman awam. Itu kena jelas dan pihak polis tidak akan bertolak ansur,” katanya yang turut memaklumkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berkaitan perhimpunan itu.

Hampir 1,000 peserta perhimpunan itu berkumpul di Masjid Jamek Kampung Baru sebelum berarak dengan berjalan kaki ke kompleks beli-belah Sogo.

Perhimpunan yang bermula pada 1.15 tengah hari itu diketuai oleh Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN) Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai “Chegu Bard”.

Sumber: BERNAMA

The post Polis Kenal Pasti 25 Individu Terlibat Dalam Perhimpunan Di Ibu Kota appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*