Polis Tahan Penganggur Cuba Curi Tabung Masjid

polis penganggur curi tabung masjid

Polis Tahan Penganggur Cuba Curi Tabung Masjid

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) — Seorang penganggur ditahan di rumahnya di Kajang, tengah malam tadi kerana disyaki cuba mencuri wang di dalam tabung di sebuah masjid di Bandar Baru Bangi, 19 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata suspek seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun itu ditahan di Flat Kajang Mewah oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Baru Bangi.

Beliau berkata polis turut turut merampas sehelai baju T-shirt lengan panjang warna hitam, sehelai kain telekung warna biru dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 warna hitam milik suspek disyaki digunakan semasa melakukan jenayah itu.

“Susulan tangkapan itu, pihak polis percaya berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian duit dan telefon bimbit di dalam masjid dan surau di sekitar kawasan Bandar Baru Bangi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zaid berkata tangkapan berkenaan dibuat selepas menerima laporan daripada ketua pengawal keselamatan masjid di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi bahawa suspek cuba memancing duit daripada tabung yang diletakkan di luar masjid berkenaan.

BACA JUGA: Remaja Curi Tabung Surau Diperintah Dihantar Ke Sekolah Henry Gurney

Katanya sebelum itu, ketua pengawal keselamatan telah menerima panggilan daripada seorang daripada  pengawal keselamatan di masjid yang memaklumkan kejadian tersebut.

Beliau berkata semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek memakai telekung berwarna biru, berseluar warna hitam dan berpelitup muka cuba memancing duit daripada tabung masjid yang berada di bahagian koridor luar tepi masjid.

“Suspek bagaimanapun tidak sempat mencuri duit tabung masjid kerana tindakannya disedari oleh pengawal keselamatan yang bertugas ketika itu namun suspek berjaya melarikan diri,” katanya.

Mohd Zaid berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda atau sebat.

Sumber: BERNAMA

The post Polis Tahan Penganggur Cuba Curi Tabung Masjid appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*