Projek tambak laut di P. Pinang dijangka mula tahun ini

BALIK PULAU – Kerja-kerja tambakan laut Penang South Islands (PSI) dijangka dimulakan pada suku ketiga tahun ini sebaik projek tersebut mendapat semua kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pada masa ini kerajaan negeri masih menunggu kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan dijangka diperoleh bulan ini.

“Selepas mendapat kelulusan EIA, projek ini perlu mendapat kelulusan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), EMP ini akan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga bulan untuk diluluskan oleh JAS.

“Seperti yang dikatakan sebelum ini, kerja-kerja fizikal untuk projek PSI ini tidak akan dimulakan sehingga kami mendapat semua kelulusan yang diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan Sungai Batu (PPSN), di sini hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow menghadiri majlis penyampaian Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelaksanaan Pelan Induk Pengimbangam Ekologi (PEOM) di PPSN Sungai Batu.

Pojek PSI atau dahulunya dikenali sebagai projek tambakan laut selatan (PSR) merupakan projek seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Bagaimanapun, projek PSI itu mendapat bantahan daripada komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di negeri ini kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut di perairan berkenaan.

Menurut Kon Yeow, kelulusan EIA itu melibatkan banyak jabatan dan kerajaan negeri sudah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan malah EMP yang dirangka juga melibatkan cara-cara mengurangkan impak penambakan di kawasan PSI.

“Kita berharap JAS akan memberi maklum balas yang positif dalam masa terdekat mengenai EIA dan EMP dengan mengambil kira manfaat projek itu kepada rakyat khususnya komuniti nelayan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pada hari ini kerajaan negeri juga secara rasmi memulakan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) dengan menandatangani memorandum persefahaman bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang untuk menanam pokok bakau dan spesis lain yang bersesuaian di lokasi tertentu termasuk di PSI.

“Kerajaan negeri juga melantik Pusat Kajian Samudera dan Pantai (Cemacs) dari Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjayakan penyelidikan pelabuhan tukun tiruan dan unjam.

“Cemacs juga akan melaksanakan program pelepasan benih ikan dan udang yang akan memanfaatkan sektor perikanan serta nelayan tempatan,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

The post Projek tambak laut di P. Pinang dijangka mula tahun ini appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*