PERKESO Dan YaPEIM Berganding Bahu Perluaskan Perlindungan Sosial, Tingkatkan Kebolehpasaran Golongan Rentan Dan Galakkan Masyarakat Berinfaq

PUTRAJAYA, 12 JAN 2023 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Yayasan  Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini telah memeterai satu  Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan memberi manfaat kepada golongan sasar di  negara ini menerusi perluasan jaringan perlindungan keselamatan sosial dan pembudayaan  amalan berinfaq. 

Dalam Majlis Menandatangani MoU yang diadakan di Menara PERKESO Putrajaya,  PERKESO diwakili oleh Ketua Eksekutif, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz  Mohammed manakala YaPEIM oleh Pemangku Ketua Pengarah, Tuan Haji Awang @  Musran Tawil. 

Kerjasama strategik ini bakal memberi manfaat perlindungan sosial PERKESO kepada  golongan bekerja sendiri termasuk usahawan, golongan asnaf dan rentan di bawah YaPEIM, meningkatkan kebolehpasaran mereka menerusi aktiviti Program Return to Work (RTW),  Program RTWPrenuer dan perkhidmatan pekerjaan PERKESO, di samping memperkasakan sumber dana untuk pelaksanaan program-program ekonomi dan amal jariah YaPEIM

Kolaborasi dua hala ini membabitkan tiga jabatan PERKESO iaitu Bahagian Sinergi, Pejabat  Sistem Insurans Pekerjaan dan Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri. 

Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman berkata menerusi MoU tersebut, PERKESO dan YaPEIM  akan saling menyokong untuk memperkasakan sosioekonomi rakyat Malaysia secara  komprehensif dan memperluaskan perlindungan keselamatan sosial yang mampan kepada  pelbagai golongan masyarakat.

“Kolaborasi ini juga melibatkan Program Social Synergy PERKESO yang bertujuan  menangani permasalahan kemiskinan, keciciran dan ketidaksepaduan manfaat keselamatan  sosial,” kata beliau pada Majlis Menandatangani MoU tersebut. 

Sejak Program Social Synergy diperkenalkan pada November 2019 sehingga kini, lebih 350  agensi yang terdiri daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat telah  turut serta dalam program ini. Mereka menyumbang dalam lima modul Social Synergy iaitu  Kewangan, Pendidikan & Latihan, Faedah & Perlindungan, Perubatan & Kesihatan, serta  Pekerjaan & Perniagaan. 

Program RTW PERKESO pula, yang dilancarkan pada tahun 2007 telah berjaya membantu  79,054 individu hilang upaya akibat kemalangan atau penyakit untuk memperoleh pekerjaan  semula. Sementara itu, sejak tahun 2017, program RTWPrenuer telah melahirkan 2,660  orang usahawan dari kalangan pekerja yang mengalami hilang upaya. 

Dalam masa sama, MoU yang termeterai ini membolehkan budaya infaq diperluas kepada  seluruh kakitangan PERKESO iaitu sumbangan Sadaqah Jariah yang dibuat melalui infaq  gaji. Selain itu, YaPEIM juga dapat memperkenalkan aktiviti atau program yang  dilaksanakannya melalui pelbagai pendekatan. MoU ini juga akan memudahkan agihan  sumbangan yang mana kadar sumbangan balas YaPEIM adalah sehingga 50 peratus  daripada sumbangan baharu yang diterima dari pihak PERKESO menerusi Skim Infaq Gaji  YaPEIM. 

Kerjasama yang akan terjalin selama lima tahun ini bakal memberi banyak manfaat kepada  kedua-dua belah pihak terutama dalam memperkasakan hubungan baik serta membantu  masyarakat yang memerlukan di luar sana. Dengan pemeteraian MoU ini juga, YaPEIM  bersetuju menaja caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) 

PERKESO melibatkan asnaf dan usahawan YaPEIM yang belum mempunyai caruman  PERKESO. Fasa pertama akan membabitkan seramai 1,000 orang dengan tajaan caruman  RM46.60 untuk setiap asnaf dan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM46,600

Sejak tahun 1985 sehingga Disember 2022, lebih RM800 juta daripada dana Tabung  Amanah YaPEIM diagihkan kepada kira-kira 8.3 juta penerima manfaat di seluruh negara.  Jumlah ini merangkumi mereka yang berstatus fakir miskin, asnaf, keluarga B40, usahawan,  keluarga miskin, anak yatim dan kumpulan sasar yang dikenal pasti. 

Jalinan kerjasama antara PERKESO dan YaPEIM ini juga akan memainkan peranan dalam  pembangunan kemahiran dan kepakaran dalam perlindungan sosial atau social security  practitioner bagi membantu masyarakat Malaysia secara inklusif.

The post PERKESO Dan YaPEIM Berganding Bahu Perluaskan Perlindungan Sosial, Tingkatkan Kebolehpasaran Golongan Rentan Dan Galakkan Masyarakat Berinfaq appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*