Putin Dakwa Rusia Semakin Hampir Hasilkan Vaksin Kanser

Rusia hampir hasilkan vaksin

Putin Dakwa Rusia Semakin Hampir Hasilkan Vaksin Kanser

Presiden Rusia, Vladimir Putin mendakwa saintis negaranya semakin hampir menghasilkan vaksin untuk kanser dan ubat-ubatan generasi baharu.

Menurut RT, Putin membuat dakwaan tersebut dalam Forum Teknologi Masa Depan yang diadakan di Moscow, baru-baru ini.

Putin berkata, langkah besar telah dicapai saintis-saintis Rusia melibatkan pengesanan awal dan rawatan kanser.

Pencapaian itu akan membantu kelangsungan hidup yang lebih tinggi dalam kalangan pesakit kanser.

“Saya ingin memberitahu, kami semakin hampir kepada apa yang disebut sebagai vaksin onko iaitu vaksin melawan kanser dan ubat imunomodulator generasi baharu.

“Saya berharap ia akan dapat digunakan secara berkesan tidak lama lagi sebagai kaedah terapi individu,” katanya.

Menurut Putin lagi, lebih separuh daripada kes kanser di Rusia dapat dikesan di peringkat awal, di mana prognosisnya adalah yang terbaik.

Putin kemudian mengulangi ikrarnya untuk meneruskan pembiayaan penyelidikan dan pembangunan perubatan hingga mencapai tahap yang diperlukan.

Menurut RT, Putin dalam pada itu menyifatkan kemajuan perubatan yang dipamerkan dalam forum perubatan itu sebagai ‘satu fiksyen sains’.

“Jika sebelum ini, kita hanya boleh membacanya di dalam karya fiksyen fantasi. Tetapi hari ini, ia telah menjadi kenyataan.

“Semua bidang ini sedang berada di landasan yang betul dan dijangka akan menghasilkan revolusi dalam bidang perubatan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Cip khas untuk memulihkan penglihatan

Salah satu ciptaan yang mendapat perhatian dalam forum tersebut ialah cip khas yang didakwa dapat memulihkan penglihatan seseorang.

Cip berkenaan beroperasi dengan cara ditanam ke dalam otak pesakit.

Teknologi tersebut bagaimanapun masih dalam fasa ujian klinikal oleh pakar perubatan Rusia.

Putin berkata, kemajuan dalam bidang perubatan, pencegahan dan rawatan adalah perkara yang berharga. Bagaimanapun, ia memerlukan kerjasama semua pihak supaya orang awam dapat menikmati pencapaian berkenaan.

Oleh itu, Rusia melihat industri utama ini sebagai projek penting negara dan sedang berusaha membangunkan keseluruhan proses industri tersebut.

Proses itu mencangkupi semua aspek, bermula daripada mengukuhkan asas dan pengaplikasian sehinggalah kepada pengeluaran termasuk latihan tenaga mahir yang diperlukan.

Sumber: RT

The post Putin Dakwa Rusia Semakin Hampir Hasilkan Vaksin Kanser appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*