Ini Bahagian Kereta Perlu Diperiksa Sebelum Perjalanan Jauh

bahagian kereta perjalanan jauh

Ini Bahagian Kereta Perlu Diperiksa Sebelum Perjalanan Jauh

Cuti sekolah sudahpun kunjung tiba, maka ramai ibu bapa mengambil peluang untuk bercuti bersama ahli keluarga yang lain.

Antara aktiviti yang dilakukan sewaktu musim cuti sekolah adalah pulang ke kampung halaman serta pergi melancong ke pusat peranginan.

Dalam tempoh cuti yang panjang, sudah semestinya kebanyakan ahli keluarga memilih untuk pergi destinasi yang agak jauh.

Hal ini kerana, waktu cuti sekolah merupakan satu-satunya yang membenarkan anak-anak untuk tidak ke sekolah dalam jangka masa yang agak lama.

Oleh sebab itu, destinasi yang agak jauh menjadi pilihan, selain memberikan peluang kepada anak-anak untuk bersiar-siar di negeri orang.

Sebelum melakukan perjalanan yang jauh, rata-rata pengguna jalan raya telah membuat persiapan untuk menghadapi perjalanan dalam jangka masa yang panjang.

Sungguhpun begitu, ramai yang hanya membuat persiapan dari segi pengisian bahan api dan memastikan baki kad Touch ‘n Go/Touch ‘n Go mencukupi.

Sebenarnya, pemandu perlu memastikan setiap bahagian kereta dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan jauh.

Hal ini kerana, berkemungkinan bahagian-bahagian kereta mungkin tidak berada dalam keadaan yang optimum.

Oleh itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia telah mengemukakan beberapa bahagian yang perlu diperiksa sebelum memulakan perjalanan menerusi hantaran Facebook baru-baru ini.

Antara bahagian yang perlu diambil perhatian bagi memastikan kereta dapat bergerak dengan lancar ialah:

1. Pastikan bateri kereta dalam keadaan baik dan dapat menjana tenaga elektrik yang mencukupi sewaktu perjalanan jauh. Jika bateri habis secara tiba-tiba, enjin tidak dapat dihidupkan dan kebanyakan fungsi dalam kereta seperti lampu dan penyaman udara tidak dapat digunakan.

2. Pengguna juga perlu memastikan minyak cecair transmisi, stereng dan brek dalam keadaan sempurna. Pastikan cecair tidak kurang mahupun mengalami kebocoran kerana ini akan mempengaruhi keselamatan anda ketika memandu.

3. Pemandu juga perlu memastikan pad brek dalam keadaan baik supaya dapat memberikan cengkaman yang kuat ketika berhenti. Ini penting khususnya buat para pengguna yang bakal menghadapi perjalanan ke kawasan tanah tinggi agar kereta dapat dikawal dengan baik.

4. Tayar kereta perlulah tidak memiliki sebarang kerosakan atau haus sebelum memulakan perjalanan jauh. Apabila bunga tayar telahpun haus, kadar geseran antara tayar dan jalan semakin berkurangan, menyebabkan kenderaan akan semakin sukar dikawal ketika jalan dalam keadaan basah.

Akhir sekali, pengguna perlu memeriksa tali pacuan dan hos, jika terdapat sebarang rekahan atau tanda-tanda lusuh. Selain itu, jika bahagian ini menunjukkan sebarang tanda-tanda yang kurang menyenangkan, anda perlu membawa kereta anda ke bengkel terlebih dahulu.

bahagian kereta perjalanan jauh
Gambar Hiasan: Bernama

Selain itu, beberapa bahagian juga perlu diambil berat bagi memastikan keselesaan kepada anda untuk memandu.

1. Pastikan bilah pengilap pada bahagian cermin hadapan, khususnya tidak merekah dan mampu menolak air dengan baik. Ini dapat membantu anda untuk melihat keadaan sekeliling dengan jelas sewaktu hujan.

2. Bagi memastikan pemandu dan penumpang merasa selesa sepanjang perjalanan, pemilik kenderaan dinasihati untuk membersihkan penapis udara sebelum memulakan perjalanan.

Sungguhpun perjalanan masih dapat diteruskan walaupun keadaan dalam kereta agak panas, perkara ini sudah semestinya tidak memberikan keselesaan kepada pemandu, baik kepada penumpang itu sendiri.

3. Periksa lampu besar, lampu belakang, lampu brek, lampu undur dan isyarat membelok pada kenderaan anda.

Bahagian ini bukan sahaja memberikan kemudahan kepada orang sekeliling untuk mengetahui gerak geri kenderaan anda, lampu ini juga dapat memberikan keselesaan kepada pemandu untuk bergerak ketika malam, hujan lebat mahupun ruangan gelap.

Jika pengguna merasa kurang mahir untuk memastikan keadaan bahagian-bahagian ini sama ada dalam keadaan baik atau sebaliknya, anda boleh membawa kereta ke bengkel mahupun pusat servis untuk diservis secara keseluruhan.

Tindakan ini bukan sahaja dapat memberikan kelancaran sewaktu perjalanan jauh, malah dapat mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

Gambar: Kementerian Pengangkutan Jalan

BACA: Jangan Panik “Roadtax” Mati, “Renew” Dekat MyJPJ Sekelip Mata

Sumber: Kementerian Pengangkutan Malaysia via Facebook

The post Ini Bahagian Kereta Perlu Diperiksa Sebelum Perjalanan Jauh appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*