Ralat Syamsul simpan rahsia empat tahun – Yusof Haslam

PETALING JAYA – Penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam tidak tahu menahu tentang pernikahan anaknya, Syamsul Yusof dengan Ira Kazar di Thailand, seperti diumumkan hari ini.

Sebagai bapa, Yusof hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk anak dan menantunya, Puteri Sarah Liyana Kamaruddin, namun berasa ralat apabila Syamsul menyembunyikan perkara tersebut sekian lama.

“Saya hanya tahu mengenai pernikahan Syamsul selepas dimaklumkan seorang kakitangan Skop Productions. Dia memang tak bagi tahu apa-apa kepada saya dan ibunya.

“Siapa saya untuk menolak qada dan qadar, sebaliknya hanya dapat mendoakan yang terbaik untuk Syamsul dan Sarah. Mana-mana ibu bapa pun tentu melakukan perkara serupa.

“Cuma saya rasa ralat dengan tindakan Syamsul menyimpan rahsia perhubungannya sejak empat tahun lalu, selain enggan berterus terang kepada isterinya sehingga Sarah pula dituduh cuba buka aib suami.

“Kalau dia berterus terang lebih awal, isu ini tidak berpanjangan dan tidak diperkatakan masyarakat, tapi benda (pernikahan) sudah berlaku. Saya tak boleh cakap apa,” katanya kepada Kosmo! Online.

Begitupun sebagai orang tua, Yusof menerima perkhabaran yang bukan diluahkan secara berhadapan dengannya itu dengan berlapang dada.

“Paling penting adalah beri semangat kepada Puteri Sarah kerana sebagai isteri, dia yang menanggung segala rasa. Dia juga punya hak untuk membuat sebarang keputusan yang dirasakan wajar,” katanya lagi.

Yusof turut meninggalkan pesanan kepada Syamsul supaya jangan melupakan tanggungjawab terhadap anak-anak andai berlaku sesuatu kepada rumahtangga dengan Puteri Sarah.

Perkahwinan pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Sumayyah, 3,

Petang tadi pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu mendedahkan sudah mengahwini Ira berwalikan ayah mertuanya yang juga pelakon terkenal, Kazar Saisi.

Pengumuman tersebut secara tidak langsung menamatkan spekulasi hubungan Syamsul dengan Ira yang didakwa berlangsung sejak empat tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

The post Ralat Syamsul simpan rahsia empat tahun – Yusof Haslam appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*