Rayuan Akhir Ditolak, Lelaki Bakar Pusat Tahfiz Kekal Dipenjara 

lelaki pusat tahfiz

Rayuan Akhir Ditolak, Lelaki Bakar Pusat Tahfiz Kekal Dipenjara

PUTRAJAYA, 21 Mac (Bernama) — Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara terhadap seorang lelaki berumur 22 tahun yang diperintahkan ditahan di penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, selepas disabitkan atas kesalahan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran pada 2017.

Panel tiga hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat serta hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Sri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara menolak rayuan akhir pemuda itu untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara.

Hakim Tengku Maimun berkata mahkamah mengesahkan sabitan dan hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi terhadap lelaki itu.

Beliau berkata sabitan bagi kesalahan itu adalah selamat berdasarkan keseluruhan bukti yang dikemukakan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah (kini hakim Mahkamah Rayuan), katanya membuat keputusan berhubung kredibiliti saksi terutamanya dua saksi kanak-kanak (SP 68 dan SP 69) dan mendapati bahawa keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah mencukupi untuk mensabitkan pemuda itu bagi kesalahan terbabit.

“Kami mendapati tiada alasan kukuh untuk kami mengganggu keputusan itu,” kata Hakim Tengku Maimun.

Mengenai isu dibangkitkan peguam Haijan Omar yang mewakili lelaki terbabit, bahawa pembelaan alibi anak guamnya telah menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, Hakim Tengku Maimun berkata undang-undang adalah jelas bahawa sekiranya tiada motif jahat, pembelaan alibi tidak boleh mengatasi identiti yang berlebihan.

Beliau berkata dalam kes ini, SP 68 dan SP 69 tidak menunjukkan motif jahat.

Saksi berkenaan yang berumur 14 tahun ketika memberi keterangan, memberitahu dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi bahawa dia mendengar pemuda itu bertanyakan bila hendak membakar pusat tahfiz berkenaan, dan seorang lagi saksi yang berusia 15 tahun semasa memberi keterangan, melihat pemuda itu memanjat pagar dan memasuki kawasan pusat tahfiz itu bersama individu lain.

Pemuda itu telah mengemukakan notis alibi sebelum perbicaraan dimulakan yang menyatakan bahawa dia tidak mungkin berada di dalam pusat tahfiz kerana berada di luar pusat itu menghisap ganja, namun pembelaan alibinya ditolak Mahkamah Tinggi.

Pada 17 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi mendapati pemuda itu bersalah atas kesalahan membunuh dan memerintahkan dia ditahan di penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong. Lelaki itu berumur 16 tahun ketika melakukan kesalahan terbabit.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menetapkan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan atau direkodkan terhadap seseorang yang didapati bersalah jika kanak-kanak itu berusia bawah 18 tahun, dan sebagai ganti hukuman mati, seperti yang diperuntukkan Seksyen 97 (2) akta sama, mahkamah harus memerintahkan individu itu ditahan selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Pemuda itu gagal dalam rayuannya yang ditolak Mahkamah Rayuan pada 11 Sept tahun lepas.

Mahkamah Tinggi telah membebaskan seorang lagi pemuda berumur 22 tahun atas kesalahan membunuh.

Pihak pendakwaan merayu terhadap pembebasan itu, namun ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu ke Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, Haijan berhujah bahawa sabitan anak buahnya bagi kesalahan membunuh tidak kukuh kerana keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak mencukupi untuk mensabitkan pemuda itu.

Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berkata seorang saksi pendakwaan melihat pemuda itu memanjat pagar dan memasuki pusat tahfiz berkenaan.

BACA: Sarung Tangan Kuning Tidak Sesuai Untuk Pengendalian Makanan – KKM

Sumber: Bernama

The post Rayuan Akhir Ditolak, Lelaki Bakar Pusat Tahfiz Kekal Dipenjara  appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*